X

Kindly register in order to view this article
!

Bursa Malaysia kekal tinggi pada tengah hari

Bursa Malaysia
A
A

KUALA LUMPUR - Saham-saham di Bursa Malaysia kekal tinggi pada tengah hari ini didorong kes positif dan maut akibat koronavirus (Covid-19) di beberapa negara di dunia yang dilaporkan berkurangan sekali gus memberi harapan untuk ekonomi global mencatatkan pemulihan lebih cepat.

Prestasi bursa tempatan juga disokong oleh harga minyak mentah yang lebih tinggi dengan kini didagangkan pada AS$33.98 setong, naik 2.81 peratus.

Sementara itu, pakej rangsangan ekonomi tambahan kerajaan bernilai RM10 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka mengurangkan kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) terhadap sektor itu akibat Covid-19.

Pada jam 12.30 tengah hari, indeks utama, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 15.04 mata atau 1.12 peratus kepada 1,356.73 daripada 1,341.69 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 13.82 mata lebih tinggi pada 1,355.51 dan bergerak di antara 1,352.63 dan 1,360.09 sepanjang sesi pagi.

Di papan skor, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 673 berbanding 13 manakala 312 kaunter tidak berubah, 753 kaunter tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 3.92 bilion saham bernilai RM1.62 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, sentimen positif hari ini turut meliputi saham berharga murah dan saham pasaran meluas memandangkan pelabur meneruskan semula pembelian semasa harga rendah ke atas saham yang mengalami penurunan.

"Pergerakan ini sebahagian besarnya dibuktikan menerusi kenaikan jumlah dagangan baru-baru ini yang mencecah lebih lima bilion, menunjukkan kehadiran semula minat terhadap aset berisiko," menurutnya.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, walaupun bursa tempatan mencatatkan dagangan lebih tinggi hari ini, prestasi keseluruhan kekal tidak menentu buat masa ini.

“Kita mungkin mahu menyaksikan bacaan yang lebih konsisten, terutama bagi bilangan kes baharu Covid-19, tetapi setakat ini saya lihat keadaan ini sebagai peluang dagangan. Secara teknikal, ekuiti telah mengalami terlebih jual. Oleh itu agak wajar untuk melihat peningkatan semula dari semasa ke semasa,” katanya kepada Bernama.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank meningkat 25 sen kepada RM7.90, Tenaga naik enam sen kepada RM12.16, IHH menokok tiga sen kepada RM5.06 manakala Public Bank turun dua sen kepada RM15.88.

Saham paling untung termasuk Dutch Lady, yang melonjak 70 sen kepada RM44.20, PetDag menambah 54 sen kepada RM20.64 dan Panasonic menokok 42 sen kepada RM27.40.

Kaunter minyak dan gas, Sapura Energy, Hibiscus Petroleum dan Bumi Armada masing-masing meningkat setengah sen, dua sen dan setengah sen kepada 11 sen, 53 sen dan 18 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 114.30 mata kepada 9,389.49, Indeks FBM Emas Syariah menokok 125.08 mata kepada 10,267.13 manakala Indeks FBMT 100 menambah 107.98 mata kepada 9,285.16.

FBM 70 melonjak 149.16 mata kepada 11,017.92 dan FBM Ace meningkat 142.92 mata kepada 4,113.05.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.61 mata kepada 107.55, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 185.81 mata kepada 12,430.11 dan Indeks Perladangan menambah 2.43 mata kepada 6,135.08. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!