Covid-19 ragut nyawa 24 doktor di Indonesia

Foto dari portal Sinar Harian.
Foto dari portal Sinar Harian.
A
A
A

JAKARTA – Seramai 24 doktor maut kerana wabak Covid-19 di Indonesia dan pada masa sama negara itu turut mencatatkan peningkatan harian tertinggi kes tersebut.

Agensi melaporkan sebanyak 218 kes baharu muncul di negara tersebut menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,491 kes.

Jumlah kematian direkodkan ialah 209 merupakan jumlah tertinggi di Asia, tidak termasuk China.

Pada masa yang sama, kadar kematian dalam kalangan doktor turut meningkat satu kali ganda berbanding minggu lalu dipercayai berpunca daripada kekurangan peralatan keselamatan.

Jurucakap Persatuan Doktor Indonesia, Halik Malik berkata, kematian akibat Covid-19 dalam kalangan doktor berlipat ganda.

“Risiko kakitangan sektor perubatan dijangkiti memang sentiasa ada tetapi pada hakikatnya mereka patut diberi perlindungan sewajarnya,” ujarnya.

Pada masa yang sama, agensi perisikan Indonesia minggu lalu turut mendedahkan bahawa pandemik Covid-19 dijangka memuncak dalam tempoh tiga bulan dan mungkin melepasi 100,000 kes menjelang Julai ini.

Menurut Presiden Indonesia, Joko Widodo pakaian keselamatan diri (PPE) telah diedarkan di semua lokasi di Indonesia dan meminta penghantaran ke hospital dipantau pegawai serantau.

Artikel Berkaitan:

Petugas perubatan Indonesia dikatakan menghadapi masalah kekurangan PPE memaksa doktor menggunakan baju hujan dan membawa topeng muka sendiri sebagai langkah pencegahan wabak.

Kekurangan katil hospital, kakitangan perubatan dan kemudahan unit rawatan rapi (ICU) juga menimbulkan kerisauan terhadap kemungkinan krisis Covid-19 bakal melumpuhkan institusi perubatan Indonesia.

Sebelum ini, sebuah bekas kem tahanan pelarian era perang Vietnam di sebuah pulau tidak berpenghuni di luar pesisir Sumatera dan bekas perkampungan sukan diubah suai menjadi pusat rawatan Covid-19.