Lima daerah di Selangor kini zon merah Covid-19

Lima daerah di Selangor kini dikategorikan sebagai zon merah Covid-19 berikutan merekod lebih 41 kes. - Foto FB JKNS
Lima daerah di Selangor kini dikategorikan sebagai zon merah Covid-19 berikutan merekod lebih 41 kes. - Foto FB JKNS
A
A
A

SHAH ALAM - Lima daerah di Selangor termasuk yang terbaru Sepang kini dikategorikan sebagai zon merah berikutan merekod peningkatan melebihi 40 kes positif koronavirus (Covid-19).

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi info grafik dimuat naik di Facebook rasminya memaklumkan empat daerah di Selangor dikategori sebagai zon merah iaitu Hulu Langat, Petaling, Klang dan Gombak.

Sehingga semalam Selangor merekod sebanyak 970 kumulatif kes positif Covid-19.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi akaun Facebook rasminya memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari semalam daerah Hulu Langat mencatat jumlah tertinggi dengan 324 kes.

Daerah Petaling pula merekodkan 290 kes diikuti Klang (115 kes), Gombak (108 kes) dan Sepang (49 kes).

Bagi daerah Hulu Langat pecahan jumlah kes terbanyak direkod di kawasan Kajang (101 kes), Hulu Langat (101 kes), Ampang (57 kes), Cheras (45 kes), Beranang (11 kes) dan Semenyih (9 kes).

Di daerah Petaling, 116 kes direkod di kawasan Damansara, Bukit Raja (94 kes), Petaling (72 kes) dan Sungai Buloh (8 kes).

“Sebanyak 94 kes direkod di Klang dan Kapar yang juga terletak di daerah Klang mencatat 21 kes.

Artikel Berkaitan:

“Bagi daerah Gombak kawasan Batu mencatat kes tertinggi iaitu 40 kes, Hulu Kelang (38 kes) Rawang (19 kes) dan Setapak (11 kes),” menurut maklumat yang dimuat naik dalam Facebook JKNS itu.

Menurut info grafik tersebut, 49 kes direkod di Sepang masing-masing melibatkan kawasan Dengkil (35 kes), Labu (13 kes) dan Sepang satu kes.

Sebanyak 25 kawasan di kesemua sembilan daerah di negeri ini dikategorikan sebagai zon kuning, empat (zon jingga) dan 18 kawasan di kategori sebagai zon hijau berikutan tiada kes dilaporkan.

Terdahulu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam jawapan bagi soalan lazim (FAQ) mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Tahap 2 (PKP 2) memaklumkan zon merah mempunyai lebih daripada 40 kes positif virus berkenaan.

Kawasan yang mempunyai 21 hingga 40 kes positif dirujuk sebagai zon jingga. Zon kuning pula merujuk kepada kawasan yang mempunyai satu hingga 20 kes positif manakala zon hijau adalah kawasan yang tiada kes positif.