Donut 10 sen tampung perbelanjaan

 Idham Syafiq (kiri) bersama seorang pelanggan di sekitar bandar Kuala Terengganu.
Idham Syafiq (kiri) bersama seorang pelanggan di sekitar bandar Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Usaha seorang lelaki menjual donut pada harga 10 sen sebiji bagi menampung perbelanjaan harian mendapat pujian ramai.

Idham Syafiq Darmilus, 31 memilih untuk menjual donut yang dihasilkan sendiri secara bergerak dengan menaiki motosikal pada waktu malam di sekitar bandar Kuala Terengganu.

Tidak terlalu memberi fokus kepada keuntungan, bapa kepada empat anak ini menganggap usahanya itu adalah sebahagian daripada amal jariah.

"Memang ramai yang nampak terkejut, iyalah, tahun 2019 masih ada yang jual donut 10 sen.

"Sebenarnya kalau nak cerita pasal untung tu, Insha-ALLAH untung ada. Asalkan kita benar-benar ikhlas berniaga.

"Lagipun, donut yang saya hasilkan ini adalah baby donut yang mana saiznya agak kecil berbanding donut biasa," katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.

Idham Syafiq berkata, donut bersaiz kecil itu lebih memudahkan kanak-kanak untuk menikmatinya dan mengelak pembaziran.

"Biasanya donut ni digemari kanak-kanak, tetapi, jarang yang mampu habiskan bila makan donut bersaiz besar.

Artikel Berkaitan:

"Lagipun tak semua orang senang dan mampu untuk beli makanan pada harga yang mahal," katanya yang baharu memulakan jualan tidak sampai seminggu.

Idham Syafiq berkata, dia belajar membuat donut daripada isterinya, Edah Ali, 35.

"Isteri dan anak-anak saya tinggal bersama keluarga mertua di Dungun.

"Saya pula tinggal seorang di Kuala Terengganu dan bekerja di kedai makan ayah saya.

"Jadi, saya terfikir untuk memanfaatkan masa yang ada dengan menjual donut," katanya yang beroleh pulangan jualan sekitar RM20 hingga RM21 semalaman.

Sementara itu, sorang pelanggan, Mohd Azahari Yusof,41, berkata, beliau kagum dengan usaha Syafiq menjual donut pada harga murah.

"Sebenarnya saya macam tak percaya zaman sekarang ada lagi yang jual donut pada harga serendah 10 sen.

"Apapun, saya memang kagum dengan usaha dan keberanian serta niat baik dia untuk menjual sambil beramal," katanya.