X

Kindly register in order to view this article
!

'Prihatin Tambahan beri lega kepada pengusaha PKS'

Pakar ekonomi, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dan penganalisis ekonomi bebas, Dr Baayah Baba.
A
A

SHAH ALAM - Penganalisis ekonomi menyifatkan Pakej Rangsangan Prihatin Rakyat (Prihatin Tambahan) diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi kelegaan kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya perusahaan mikro.

Pakar ekonomi, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Prihatin sebelum ini tidak banyak membantu dari segi kecairan apabila ia hanya merujuk terhadap segi upah sebanyak RM600 kepada pekerja namun tidak mengikut kriteria perniagaan dan bilangan pekerja.

Bagaimanapun katanya, apabila diteliti dalam pakej Prihatin Tambahan, kebimbangan itu dapat dikurangkan menerusi bantuan lebih tinggi dalam bentuk subsidi upah kepada PKS kecil dan mikro yang sangat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Maknanya RM600 itu dikekalkan untuk PKS lebih besar dan PKS yang lebih kecil mendapat lebih banyak bantuan dari segi upah tersebut. Jadi itulah yang kritikal sebenarnya iaitu bagi memastikan PKS yang kecil-kecil ini mampu untuk terus bertahan. Namun jika subsidi upah itu diberi tetapi kalau tiada pendapatan dan permintaan, PKS kecil ini tetap akan menghadapi masalah.

“Sebab itu saya lihat apabila diwujudkan geran kepada usahawan mikro berjumlah RM3,000 kepada setiap perniagaan sekurang-kurangnya ada juga pendapatan tambahan bagi menampung kos-kos lain seperti bayaran sewa pihak swasta dan bil utiliti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sementara itu, seorang penganalisis ekonomi bebas, Dr Baayah Baba pula berkata, Prihatin Tambahan ini adalah sangat bermakna dan tepat untuk membantu PKS apabila aktiviti pekerjaan mereka terjamin sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan.

“Kalau dulu Mak Cik Kiah kini Madam Lee dan Haji Salleh pula dapat menarik nafas lega. Apa yang lebih diharapkan adalah agar wabak koronavirus (Covid-19) segera berlalu dan ekonomi segera pulih dengan cepat.

“Rakyat Malaysia juga wajar bersyukur kerana mempunyai seorang Perdana Menteri yang proaktif. Subsidi upah ini akan dapat membantu PKS membayar gaji pekerja khususnya dalam keadaan yang tidak menentu ini,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan pakej tambahan berjumlah RM10 bilion bagi membantu meringankan beban kewangan PKS dan menjamin rakyat terus mendapat pekerjaan.

Beliau menjelaskan, peruntukan bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac yang lalu dinaikkan daripada RM5.9 bilion kepada RM13.8 bilion iaitu tambahan sebanyak RM7.9 bilion.

Di bawah inisiatif tambahan itu, katanya, semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah.

Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung perutusan khas langkah tambahan bagi Prihatin Tambahan yang disiarkan di stesen televisyen tempatan di sini semalam.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf