Muhyiddin bangga bekas pesakit Covid-19 tampil bantu pesakit lain

Muhyiddin menerima sumbangan berjumlah RM150,000 daripada Rosli, yang juga Pemegang Amanah Yayasan NAMA.
Muhyiddin menerima sumbangan berjumlah RM150,000 daripada Rosli, yang juga Pemegang Amanah Yayasan NAMA.
A
A
A

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa bangga beliau terhadap seorang bekas pesakit koronavirus (Covid-19) yang kini tampil memainkan peranan membantu mangsa wabak itu selepas dia disahkan sembuh oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Hari ini saya menerima kunjungan saudara Rosli Dahlan, seorang peguam yang juga Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings Berhad (UDA), yang telah sembuh daripada jangkitan Covid-19,” katanya dalam catatan terkini di Facebook beliau malam ini.

Muhyiddin berkata, Rosli, yang juga Pemegang Amanah Yayasan NAMA, telah menemui beliau untuk menyampaikan sendiri sumbangan berjumlah RM150,000 daripada pihak yayasan.

Beliau berkata pada awal Mac lepas, UDA menjadi antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) paling teruk menerima kesan apabila beberapa ahli pengurusan tertinggi mereka diuji positif Covid-19.

“Mereka dikuarantin di hospital, dengan majoriti ditempatkan di Hospital Sungai Buloh, iaitu hospital khusus bagi merawat penyakit berjangkit,” katanya.

Perdana Menteri berkata, UDA telah bermurah hati menghulurkan sumbangan untuk menaik taraf beberapa wad kuarantin di beberapa hospital bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes pada pertengahan April.

“Saya difahamkan ada dalam kalangan bekas pesakit kakitangan UDA yang terlibat membantu projek vaksin serum darah. Sekiranya projek ini berjaya, mereka ini akan menjadi penyelamat.

“Jika seluruh dunia boleh bersatu melawan Covid-19, maka saya berharap rakyat Malaysia juga mampu melakukannya,” kata beliau.-Bernama

Artikel Berkaitan: