Polis tidak guna kekerasan tangani individu ingkar PKP

Keadaan semasa di kawasan sekitar sekatan jalan raya yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Sungai Lui Batu 21 hari ini. - Foto Bernama
Keadaan semasa di kawasan sekitar sekatan jalan raya yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Sungai Lui Batu 21 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pegawai dan anggota polis tidak digalakkan menggunakan kekerasan terhadap individu yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, orang ramai diharap dapat memahami situasi yang dilalui anggotanya ketika bertugas sepanjang tempoh PKP.

“Harapan saya terhadap anak buah (pegawai dan anggota polis bertugas) supaya ikut undang-undang. Saya sendiri tidak menggalakkan mereka menggunakan kekerasan bagi mengawal individu yang ingkar.

“Kita tidak suka menahan orang tetapi undang-undang itu bertujuan untuk menjaga kepentingan seluruh rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Abdul Hamid mengulas mengenai tindakan anggota polis memukul remaja yang ingkar arahan PKP menggunakan rotan di Kunak, Sabah, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Abdul Hamid memaklumkan, pihaknya tidak ‘memilih bulu’ terhadap tindakan tegas dikenakan terhadap individu yang ingkar apabila dua anggota sudah ditahan kerana berbuat demikian.

"Seramai dua anggota polis telah ditahan kerana ingkar arahan PKP, salah seorang daripada mereka ditahan ketika sedang berkaraoke. Ingin saya tegaskan bahawa kita tidak memilih bulu dengan mengenakan tindakan tegas terhadap warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melanggar arahan PKP. Sepatutnya mereka memberi contoh terbaik kepada masyarakat supaya mengikut arahan daripada pihak berkuasa," katanya.

Menurutnya, tindakan sebegini menyebabkan 99 peratus rakyat Malaysia yang patuh arahan sakit hati kerana mereka berkurung dalam rumah, namun ada lagi individu yang keluar rumah tanpa sebab munasabah.

Artikel Berkaitan:

"Saya menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak bagi memastikan mereka tidak keluar rumah sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

“Berdasarkan statistik tangkapan individu ingkar arahan PKP, empat peratus daripada jumlah keseluruhan tangkapan membabitkan remaja berusia bawah 18 tahun," katanya.

Tegas Abdul Hamid, pihaknya memberi amaran kepada individu tegar melanggar arahan PKP dan memberi jaminan mereka akan berdepan hukuman berat sekiranya ditahan pihak berkuasa.

"Individu ingkar yang menganggap perbuatan mereka melanggar arahan PKP adalah 'macho' perlu diingat bahawa 'sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga'.

“Mereka perlu fikir hukuman berat yang akan menimpa mereka apabila ditahan kelak,” katanya.