Pandangan Xifu Naser disanggah

A
A
A

SAYA tertarik dengan artikel dalam Sinar Harian bertarikh 17 Mac 2020 yang bertajuk ‘Dayusnya Falsafah Pendidikan’ yang tulis oleh rakan pensyarah pemikiran kritis di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Penulis itu melabelkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) sebagai dayus kerana pada tanggapan beliau, FPK hanya secara membuta tuli mengikut Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) yang dikuasai kuasa-kuasa besar dan tidak mahu dicabar oleh generasi kompetitif.

Tanggapan itu tidaklah tepat kerana FPK (pada mulanya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara) sebenarya telah digubal lebih awal berbanding ‘Empat Tonggak Pembelajaran’ Unesco (kini telah ditambah dengan tonggak kelima iaitu Learning to transform one self and society.

Falsafah pendidikan telah digubal oleh sekumpulan pemikir tempatan hebat pada tahun 1988, manakala ‘Empat Tonggak Pembelajaran’ Unesco pula telah diperkenalkan lapan tahun kemudian iaitu pada tahun 1996. Oleh demikian, tidak benar jika dikatakan bahawa FPK ‘takliq buta’ kepada Unesco. Walaupun begitu, perlu dinyatakan bahawa matlamat pendidikan menurut FPK dan Unesco adalah seiring dan sama baiknya iaitu untuk membawa kepada keharmonian dan kemakmuran sejagat.

Penulis itu juga dengan secara panjang lebar mengecam ketiadaan perkataan kompetitif atau berdaya saing dalam FPK yang menyebabkan FPK pada pandangannya menjadi dayus. Hakikatnya, FPK secara tersurat mengatakan pendidikan adalah usaha berterusan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Dengan kata lain, pendidikan bertujuan melahirkan insan yang sejahtera. Secara tersiratnya, seseorang yang sejahtera itu haruslah berkebolehan untuk berdaya saing (dengan cara yang baik).

Pada masa sama, seseorang yang sejahtera itu juga haruslah boleh mengimbangi sifat kompetitifnya dan merendah diri dalam berkolaborasi dan bekerjasama demi mencapai keharmonian dan kemakmuran.

Kita semua adalah khalifah yang bertanggungjawab untuk memelihara bumi yang kita kongsi bersama ini. Kita perlu berkolaborasi (tidak sentiasa bersaing) bagi memastikan pembangunan yang dijalankan adalah pembangunan yang lestari (sustainable development).

Pendidikan di negara ini sebenarnya telah terpesong daripada landasan FPK dan lebih dipengaruhi oleh ideologi kapitalisme yang diperjuangkan oleh kuasa-kuasa besar barat yang terlalu menitikberatkan nilai daya saing. Tujuan pendidikan pada era kapitalisme masa kini adalah untuk melahirkan pekerja yang berkebolehan tinggi dan berdaya saing bagi mengisi keperluan modal insan terutama dalam bidang industri.

Artikel Berkaitan:

Tidak seimbang

Atas kegilaan untuk berdaya saing demi pekerjaan ini, pendidikan yang sepatutnya berteraskan nilai bertukar kepada pendidikan yang hanya menerapkan ilmu dan kemahiran semata-mata seperti yang dimahukan oleh industri. Institusi pendidikan kini dianggap sebagai kilang untuk menghasilkan produk yang berlabel modal insan.

Masyarakat pula, secara umumnya, obses kepada kedudukan institusi pendidikan dalam ranking popular atas alasan akan memudahkan mereka mendapat pekerjaan. Visi dan misi institusi pendidikan yang bertonggakkan nilai tidak begitu dipentingkan. Permainan ranking kini tumbuh bagai cendawan untuk mengeksploitasi institusi pendidikan demi keuntungan.

Ranking ini mempromosikan indikator palsu tentang kualiti dan daya saing sesebuah institusi dan membanding-bandingkan antara mereka. Akibatnya, institusi pendidikan tertekan dan terpesong daripada landasan asal mereka yang berteraskan FPK.

Pendidikan kini dianggap satu komoditi yang perlu dipromosi dan diiklankan. Akibatnya juga, institusi pendidikan yang sepatutnya berkolaborasi bersama dalam mendidik masyarakat menjadi lebih cenderung untuk bersaing antara satu sama lain.

Malang sekali, kebenarannya ialah daya saing dan pekerjaan yang diutamakan pendidikan masa kini sebenarnya tidak membawa kepada kesejahteraan. Statistik menunjukkan bilangan kes kemurungan di negara kaya atau negara yang lebih berdaya saing secara puratanya adalah lebih tinggi berbanding negara yang kurang berdaya saing. Antara sebabnya ialah kerana terlalu bersifat kompetitif dan tiada kesejahteraan diri, seseorang itu tidak senang apabila melihat kejayaan orang lain dan akhirnya kemurungan.

Kerosakan pada alam sekitar, kelebaran jurang ekonomi dan masalah sosial akibat pembangunan manusia yang tidak terkawal juga adalah lebih teruk di negara-negara yang lebih berdaya saing.

Kesejahteraan diri akan membawa kepada kesejahteraan sejagat. Kesejahteraan harus mula diterapkan dari awal menerusi pendidikan seperti yang digariskan FPK. Diri yang sejahtera adalah seimbang dari semua sudut, dalaman mahupun luaran.

Menurut Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam buku Essay on Sejahtera, kesejahteraan boleh dikecapi jika 10 ramuan (spices) bagi kesejahteraan dapat diimbangi. Kesemua 10 ramuan bagi kesejahteraan tersebut ialah rohani, fizikal-psikologi, intelektual, kognitif, budaya, etika, emosi, ekologi, ekonomi, dan sosial. Proses untuk mengimbangi ramuan kesejahteraan ini adalah satu proses yang berterusan dan perlu dipupuk melalui pendidikan dari awal.Keseimbangan ialah satu elemen yang sangat ditekankan dalam agama. ALLAH SWT berfirman dalam surah ar-Rahman menekankan kepentingan keseimbangan:

“Dan langit ditinggikan-Nya, dan diadakan-Nya keseimbangan. Supaya kamu tidak melampaui batas dalam keseimbangan. Dan pastikan pengimbangan itu adil, serta janganlah dikurangkan keseimbangan itu.”

ALLAH mengatur setiap benda di dalam alam ini secara seimbang. Jikalau diganggu keseimbangan itu maka kemusnahan akan berlaku. Pada masa sama, ALLAH mengarahkan manusia yang diberikan kebebasan memilih (free will) untuk bertanggungjawab memastikan dan memelihara keseimbangan dalam semua aspek kehidupan (ramuan spices) supaya mereka menjadi manusia yang sejahtera.

KehidupanBerlandaskan FPK, insan sejahtera yang lahir daripada usaha pendidikan adalah insan yang berkebolehan dan berdaya saing dalam mengawal diri dalam melawan anasir-anasir jahat, berdaya saing dalam melaksanakan amanah dalam pekerjaan dan berdaya saing dalam menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Mereka juga dapat berkolaborasi dalam pembangunan yang lestari (sustainable development) dan hidup secara harmoni dalam bumi yang dikongsi bersama ini. Mereka mampu menjadi khalifah atau pemimpin yang menjadi rahmat kepada seluruh alam (Rahmatan lil Alamin). Mereka mampu menjamin kemaslahatan dan menghindarkan kemudaratan untuk semua seperti yang digariskan oleh Maqasid Al-Syariah.

Kesimpulannya, menjadi kompetitif atau berdaya saing sahaja tanpa keseimbangan dan kesejahteraan akan mengakibatkan kemusnahan kepada diri, masyarakat, negara dan juga dunia. FPK menggariskan usaha yang perlu dijalankan dalam pendidikan bagi melahirkan insan sejahtera yang dapat memastikan keharmonian dan kemakmuran untuk semua. Keharmonian dan kemakmuran ini adalah suatu yang jauh lebih hebat daripada Rumah Putih Amerika yang diidamkan oleh penulis artikel ‘Dayusnya Falsafah Pendidikan’. Falsafah Pendidikan tidaklah dayus.

* Profesor Madya Dr Yasir Mohd Mustafah ialah Pensyarah Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia