Jovian hargai 'frontliners', hasilkan PPE dan set kebersihan

Pasukan Jovian yang banyak membantu menjayakan projek amal PPE dan Jovian Hygiene Kit
Pasukan Jovian yang banyak membantu menjayakan projek amal PPE dan Jovian Hygiene Kit
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lagi pereka fesyen terkemuka, Jovian Mandagie memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menghasilkan kelengkapan alat perlindungan diri (PPE) kepada pasukan barisan hadapan negara.

Jovian dilihat memberi sedikit kelainan apabila PPE rekaannya diperbuat daripada material atau fabrik putih berbeza dengan PPE asal yang kebanyakannya berwarna biru muda.

Menerusi Instagramnya beliau memberitahu pemilihan warna putih adalah sebagai simbolik hati para petugas barisan hadapan yang suci serta sanggup berkorban menentang wabak koronavirus (Covid-19) demi seluruh rakyat Malaysia.

"Ini (PPE) adalah sebagai tanda penghargaan di atas pengorbanan mereka yang sanggup keluar bekerja, sementara kita berada di rumah.

"Penghantaran pertama PPE sudah dibuat hari ini dan terima kasih kepada pasukan saya yang banyak membantu," tulisnya.

PPE berwarna putih melambangkan kesucian hati para petugas barisan hadapan
PPE berwarna putih melambangkan kesucian hati para petugas barisan hadapan

Beliau turut berseloroh dengan pekerjanya dengan menulis, "Terima kasih juga sebab tak pasang manik pada kolar PPE...Semua tangan dah geram," katanya.

Selain itu, ramai pengikut meninggalkan komen positif termasuk pujian di atas usaha beliau dan menyifatkan PPE sentuhannya paling eksklusif.

Artikel Berkaitan:

Ada juga pengikutnya yang mahu membeli PPE itu walaupun tidak dijual.

Jovian sendiri memberitahu, tidak pernah terlintas di fikirannya sebagai pereka fesyen bahawa beliau akan melakukan perkara yang dilakukan hari ini.

"Preparation of Jovian Hygiene Kit &PPE suits. Never in my wildest imagination, did i ever think my atelier would turn into some sort of a 'medical lab'," katanya.

Jovian yang juga menantu kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu turut menghasilkan set Jovian Hygiene Kit yang dilengkapi topeng muka, cecair pembasmi kuman serta sarung tangan untuk diedarkan secara percuma kepada 'frontliners' serta pihak yang memerlukan terutamanya yang menawarkan perkhidmatan penghantaran seperti Pos Malaysia dan Grab.