Teladan dari Singapura

A
A
A

DALAM menangani isu pandemik Covid-19 ini, semua negara termasuk Malaysia dan Singapura telah mengumumkan mengenai pakej stimulus atau rangsangan ekonomi masing-masing dalam memastikan ekonomi masih terus berjalan lancar.

Pada awal kemunculan Covid-19, tiada siapa yang menyangka ia akan membawa petaka yang begitu dahsyat seperti hari ini. Banyak negara yang mengambil mudah akan penyebaran wabak ini pada awal tahun ini, termasuk kerajaan Malaysia. Kini, masing-masing terpaksa bekerja keras untuk membendung isu pandemik ini kerana ia bukan sahaja menyerang kesihatan awam, tetapi juga turut mengganggu gugat ekonomi negara.

Ramai pakar ekonomi meramalkan risiko sistemik pada sistem kewangan negara akan berlaku jika kerajaan tidak mengambil langkah yang sewajarnya dalam membendung atau mengurangkan impak Covid-19.

Singapura sendiri, sehingga rencana ini ditulis, telah mengumumkan hampir S$50 bilion (sekitar RM151 bilion). Dikatakan, Singapura bakal mengumumkan pakej rangsangan ketiga dalam minggu ini.

Berbanding Singapura, nilai yang dibelanjakan oleh Malaysia lebih tinggi iaitu sekitar RM250 bilion. Namun, jika dibandingkan dari segi saiz dan populasi kedua-dua buah negara, sudah tentu Singapura mempunyai nilai pakej rangsangan yang lebih tinggi.

Apabila Perdana Menteri mengumumkan pakej rangsangan yang dikatakan untuk semua, ramai majikan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak berpuas hati kerana pakej rangsangan tersebut tidak begitu prihatin terhadap PKS.

Di Singapura, kerajaan telah menawarkan bantuan kepada majikan untuk membayar 25 peratus daripada gaji S$4,600 yang pertama selama 9 bulan. Ini berbeza dengan Malaysia yang hanya menawarkan program subsidi upah bernilai RM600 kepada pekerja bergaji di bawah RM4,000. Itu belum lagi dikira hanya segelintir majikan yang layak untuk memohon program subsidi upah ini kerana pihak majikan perlu buktikan bahawa mereka telah mengalami lebih 50 peratus penurunan pendapatan sejak Januari 2020.

Ini adalah satu syarat yang kurang masuk akal. Jika kerajaan pada Januari 2020 masih lagi tidak mengambil sebarang langkah berjaga-jaga dengan isu Covid-19 ini, masih tidak membuat sebarang sekatan kemasukan ketika penyebaran Covid-19 semakin meruncing, bagaimana kerajaan boleh jadikan penurunan pendapatan bermula Januari 2020 sebagai syarat utama? Pada waktu itu rakyat masih dijanjikan kestabilan dan semuanya baik-baik sahaja. Dan ketika itu, majoriti majikan masih belum merasai impak Covid-19 ini.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Singapura turut memberikan bantuan S$1,000 kepada golongan yang bekerja sendiri yang berkelayakan. Ini tidak difokuskan oleh kerajaan Malaysia, sebaliknya hanya mengharapkan bantuan kepada B40 dan M40 sebagai mencukupi untuk meliputi golongan ini.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan Singapura mengambil langkah proaktif dengan bakal memperkenalkan Rang Undang-Undang Covid-19 (Langkah-Langkah Sementara) (RUU) bagi membantu dan mengurangkan impak Covid-19 terhadap perniagaan-perniagaan dan rakyatnya mengenai tanggungjawab dan liabiliti mereka dalam kontrak yang telah mereka tandatangani. Malah, RUU ini turut meliputi perubahan sementara terhadap undang-undang penggulungan syarikat dan juga kebankrapan.

RUU tersebut melarang mana-mana pihak daripada mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka seperti yang termaktub dalam kontrak akibat Covid-19.

Bagi kontrak pembinaan dan kontrak pembekalan, RUU tersebut akan melepaskan liabiliti pihak-pihak tersebut daripada membayar kerugian akibat kelewatan atau kegagalan untuk menjalankan tanggungjawab mereka manakala dari aspek pelancongan pula, RUU tersebut akan memberikan perlindungan kepada pengguna dan pelancong.

Pihak hotel, contohnya, tidak boleh secara sembarangan melucutkan deposit yang telah dibayar kerana penundaan atau pembatalan tempahan.

Langkah ini amat perlu kerana kerajaan tidak boleh berfikiran bahawa perusahaan dan rakyat boleh bergantung kepada peruntukan ‘force majeure’ dalam kontrak mereka kerana tidak semua kontrak mengandungi peruntukan tersebut dan jika ada sekalipun, tidak semua peruntukan ‘force majeure’ itu di draf secara menyeluruh. Kebanyakan peruntukan ‘force majeure’ dalam kontrak hari ini tidak meliputi krisis pandemik seperti Covid-19.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan Singapura juga telah menaikkan had minimum bagi penggulungan syarikat iaitu daripada S$10,000 kepada S$100,000. Manakala Malaysia pula, masih kekal kepada minimum RM10,000 sebagai syarat utama untuk menggulungkan sesebuah syarikat. Bagi individu pula, had minimum kebankrapan dinaikkan kepada S$60,000 berbanding S$15,000 sebelum ini.

Tambahan, kerajaan Malaysia juga perlu mempertimbangkan untuk memperkenalkan undang-undang sementara bagi menghalang pengusiran dari kediaman atau premis perniagaan sepanjang krisis ini berlaku. Sebagai contoh, di United Kingdom, undang-undang sementara telah diperkenalkan bagi menghalang pemilik hartanah daripada mengusir atau membuat permohonan di mahkamah bagi pengusiran penyewa dalam tempoh 3 bulan ini.

Diharapkan kerajaan Malaysia dapat mempertimbangkan untuk memberikan bantuan yang lebih menyeluruh, bukan sahaja dari aspek rangsangan ekonomi, tetapi juga perlindungan dari aspek undang-undang, yang bukan sahaja mampu untuk meringankan beban rakyat, tetapi juga perusahaan-perusahaan di negara ini.

* Haeme Hashim ialah peguam di Tetuan Haeme Lew, Kuala Lumpur.