Thailand catat 51 kes baharu dan tiga lagi kematian

Polis Thailand menjalankan pemeriksaan suhu ke atas pengguna jalan raya di pinggir Bangkok.
Polis Thailand menjalankan pemeriksaan suhu ke atas pengguna jalan raya di pinggir Bangkok.
A
A
A

BANGKOK - Thailand hari ini melaporkan 51 kes baharu positif koronavirus (Covid-19), kadar kenaikan harian yang terendah sejak 20 Mac dan tiga kematian, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,220 kes dan 26 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, kematian terbaharu itu termasuk seorang wanita Thailand berumur 59 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit diabetes dan mengunjungi beberapa pusat perjudian yang sesak di Bangkok.

Wanita itu mula tidak sihat pada 29 Mac.

Beliau berkata, dua lagi kematian melibatkan lelaki Thailand berumur 28 tahun yang pernah melawat negara berisiko dan ahli perniagaan Thailand berumur 51 tahun yang menghidap diabetes, darah tinggi dan obes.

“Daripada 51 kes baharu dilaporkan dalam 24 jam lepas, 13 ialah kakitangan perubatan,” katanya pada taklimat harian di sini hari ini.

Daripada 2,220 kes, sebanyak 793 pesakit telah sembuh manakala 1,401 masih dirawat di hospital.

Berhubung perintah berkurung dari 10 malam hingga 4 pagi yang berkuat kuasa Jumaat lepas ( 3 April), Thaweesilp berkata, 923 pusat pemeriksaan telah diwujudkan di seluruh negara dan 708 orang telah didakwa di mahkamah kerana melanggar perintah berkurung.

Sementara itu, jurucakap kerajaan Narumon Pinyosinwat menafikan spekulasi yang tular di media sosial bahawa kerajaan bercadang melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya mulai Jumaat depan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan masih belum membuat keputusan berhubung perintah berkurung 24 jam di negara itu.

“Ia adalah berita palsu untuk mencetuskan panik. Setakat ini, tiada sebarang keputusan dibuat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chan o-cha sedang mengambil semua langkah perlu dan proaktif untuk mengekang penularan Covid-19 di negara itu.

Spekulasi itu bermula berikutan satu arahan bertulis daripada Setiausaha Tetap Kementerian Dalam Negeri, Chatchai Phromlert kepada semua gabenor wilayah untuk meningkatkan langkah dan operasi bagi membendung penularan virus itu di peringkat wilayah. - Bernama