X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Akur perintah kerajaan, penduduk Menara City One setia duduk di rumah

Proses penyahkuman atau disinfeksi sekitar Menara City One. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Akur dengan perintah kerajaan, penduduk Menara City One tidak keluar rumah manakala penghantar makanan hanya dibenarkan meninggalkan makanan yang dipesan di pondok kawalan pihak berkuasa.

Makanan yang dipesan akan diambil oleh seorang wakil keluarga untuk dibawa ke kediaman mereka untuk dinikmati anggota keluarga masing-masing.

Tinjauan Bernama mendapati menara yang terletak di Jalan Munshi Abdullah itu dikawal ketat oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), menunjukkan bahawa perintah yang dikenakan dipandang serius semua pihak.

Terdapat juga sebuah kenderaan pacuan empat roda milik PDRM yang membuat pengumuman melalui pembesar suara mengingatkan orang ramai duduk di rumah berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menara City One dikenakan arahan PKPD yang dikuatkuasakan kerajaan Selasa lepas susulan laporan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menyatakan terdapat 17 kes jangkitan direkodkan di menara itu mempunyai kaitan dengan kluster perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling.

Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, kawasan itu kurang dilalui orang ramai dan beberapa kenderaan sahaja menggunakan laluan berkenaan dalam tempoh satu-satu masa.

Tinjauan Bernama juga mendapati sebuah khemah milik Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) didirikan di perkarangan menara terbabit, difahamkan, bagi membantu KKM membuat saringan Covid-19 ke atas penduduk.

Namun, usaha Bernama untuk mendapatkan maklum balas daripada KKM berhubung perkara berkenaan tidak berhasil.

Kerajaan menguatkuasakan PKPD di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur berkuat kuasa 31 Mac sehingga 13 April ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejak penguatkuasaan itu, KKM telah menjalankan pemeriksaan kesihatan di setiap unit apartmen di bangunan terbabit. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!