Pakej Prihatin Tambahan beri kelegaan kepada PKS

Shahril Sufian Hamdan
Shahril Sufian Hamdan
A
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman Pakej Prihatin Tambahan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjumlah RM10 bilion hari ini menunjukkan pemimpin itu cakna terhadap situasi semasa dan menerima maklum balas pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, beberapa inisiatif dalam Pakej Prihatin Tambahan itu rata-ratanya menjurus kepada soal perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berkaitan rapat dengan beberapa prinsip.

Menurutnya, prinsip tersebut membantu aliran tunai syarikat yang menggajikan ramai rakyat Malaysia, menangani ancaman pengangguran, mengurangkan birokrasi dalam soal kelayakan dan pelaksanaan.

“Saya percaya atas prinsip-prinsip inilah Makcik Kiah, Pak Mail, Mr Lee, En Muthu, En Johnny dan ramai lagi yang disebut sebagai Perdana Menteri bakal menerima manfaat.

“Antaranya subsidi upah dari RM600 dinaikkan sehingga maksima RM1,200 bagi setiap pekerja yang layak dan ini amat dialu-alukan. Seperti disebut awal tadi, soalnya bagaimana membantu PKS bukan atas dasarnya sebagai pemilik syarikat, tetapi sebagai majikan agar tidak memberhentikan pekerja-pekerjanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahril berkata, Geran Khas kepada pengusaha mikro sebanyak RM3,000 akan memanfaatkan sebanyak 700,000 PKS melalui SSM dan PBT.

Menurutnya, inisiatif tersebut membantu penjaja dan peniaga kecil termasuk yang tidak berdaftar di SSM agar tidak tercicir sepertimana pernah disuarakan beliau sebelum ini.

“Manfaat lain, Skim Kredit Mikro di bawah Bank Simpanan Nasional dan TEKUN Nasional dengan kadar faedah kosong peratus serta pelbagai bantuan yang telah diumumkan sama ada sebentar tadi atau pun ketika pengumuman sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Pastinya pengumuman Pakej Prihatin tambahan oleh Perdana Menteri ini memberi sedikit kelegaan buat pengusaha-pengusaha PKS yang sangat terkesan dengan PKP yang sedang dikuatkuasakan ini,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan dalam pakej berkenaan diharap akan dilaksanakan secara telus bagi membolehkan PKS yang layak dapat segera menikmati inisiatif tersebut.