Persidangan gereja, perkahwinan beri impak peningkatan kes

Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Persidangan gereja Kuching Sarawak dan majlis perkahwinan di Bandar Baru Bangi telah memberi impak mendadak kepada peningkatan kes koronavirus (Covid-19) dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua kluster tersebut telah menyebabkan jangkitan Covid-19 sehingga generasi kelima.

"Persidangan keagamaan di Kuching Sarawak yang berlangsung selama tiga hari telah menyebabkan seramai 83 orang disahkan positif dan dua kematian manakala lima lagi kritikal.

"Sebanyak 50 kes kini sedang dirawat di hospital dan 25 kes di bawah pemerhatian di pusat kuarantin, hanya seorang pulih sepenuhnya," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, kluster perkahwinan Bangi pula telah menyebabkan 88 kes telah disahkan positif Covid-19 termasuk seorang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), bagaimanapun tiada kematian dilaporkan melibatkan kluster tersebut.

Mengulas lanjut katanya, setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan dalam memastikan usaha mengekang penularan jangkitan virus tersebut berjaya.

"Masyarakat juga diseru untuk mengelak daripada mempersalahkan atau mendiskriminasi mana-mana pesakit atau kumpulan yang dikaitkan dengan kluster jangkitan Covid-19.

"Janganlah kita stigmakan mereka. Apa yang penting adalah kita membantu mengesan dan merawat jangkitan Covid-19 di kalangan mereka yang terlibat, keluarga dan kontak mereka," katanya.

Artikel Berkaitan: