X

Kindly register in order to view this article
!

PDRM hanya buat tangkapan, bukan penjarakan

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan pihaknya hanya melaksanakan tangkapan terhadap individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebaliknya tindakan meletakkan individu yang mengingkari PKP di penjara bukan terletak di bawah kuasa polis namun oleh Jabatan Kehakiman Negara.

"Kita sedia maklum tentang situasi di dalam penjara sekiranya pesalah ini ditempatkan di penjara namun polis hanya melaksanakan tangkapan.

"Kita hanya melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan segala hukuman penjara adalah di bawah budi bicara pihak mahkamah," katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.

Menurut Abdul Hamid, betapa ruginya individu yang dikenakan hukuman denda RM1,000 apabila melanggar atau mengingkari PKP ini kerana wang berkenaan boleh digunakan untuk membeli keperluan harian yang lebih penting.

"Pada masa ini seramai 378 pesalah yang mengingkari arahan PKP sudah dijatuhkan hukuman penjara dan denda.

"Sebahagian lagi yang ditahan semasa PKP tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan," katanya.

Terdahulu, dalam kenyataan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat sebelum ini menyatakan, beliau menggesa pegawai kehakiman untuk mengambil pertimbangan dalam menjatuhkan hukuman penjara bagi kesalahan melanggar PKP susulan risiko penularan wabak koronavirus (Covid-19) di penjara.

Tengku Maimun memaklumkan dengan mengambil kira peruntukan undang-undang sedia ada dalam menjatuhkan hukuman terhadap pesalah itu, pegawai kehakiman dinasihati mengambil pertimbangan berkenaan risiko penularan wabak itu yang dihadapi penjara.

Bagaimanapun katanya, ia adalah terletak kepada budi bicara mahkamah untuk mempertimbangkan bentuk hukuman yang sesuai dengan mengambil kira masalah risiko penularan wabak itu yang dihadapi oleh penjara.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus