PDRM tambah 100 peratus anggota, kawal kemasukan warga asing

Hamid pada sidang media di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman semalam mengenai situasi semasa pada hari ke-20 PKP.
Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Hamid pada sidang media di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman semalam mengenai situasi semasa pada hari ke-20 PKP. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah 100 peratus kekuatan anggota yang bertugas di kawasan sempadan darat dan perairan bagi mengawal kemasukan warga asing ke negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, inisiatif itu diambil bagi mengelak berlakunya gelombang ketiga penularan Covid-19 di negara ini.

“Berdasarkan saranan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KkM) mengenai gelombang ketiga Covid-19 membabitkan warga asing, kami akan mengambil tindakan memperketatkan lagi kawasan sempadan darat dan perairan dengan menambah kekuatan pegawai dan anggota.

“Setakat ini, seramai 2,500 pegawai dan anggota bertugas mengawal dan meronda di sempadan darat dan pantai di seluruh negara dengan perlaksanaan pelbagai operasi termasuk Op Nyah, Op Batas, Op Taring dan Op Warisan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini semalam.

Abdul Hamid berkata, pihaknya menjangkakan ada pendatang asing tanpa izin (PATI) dibawa masuk ke negara ini menggunakan laluan tikus sekali gus menyebabkan kemasukan mereka tanpa melalui saringan.

"Kita memandang serius perkara ini, isu ini sudah dibincangkan dengan ketiga-tiga panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu udara, darat dan laut di Kementerian Pertahanan pagi tadi (semalam),” katanya.

Beliau berkata, ada di antara warga asing yang bergerak secara senyap ke kawasan sempadan seperti jeti untuk pulang ke negara asal masing-masing.

"Sebelum ini, kita telah menahan lima lelaki serta seorang wanita warga Bangladesh dan Myanmar yang cuba memasuki negara ini pada 19 hingga 23 Mac lalu iaitu dalam tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan trend ini, kita juga akan melakukan pemantauan di jeti berhampiran sempadan bagi mengelak kemasukan warga asing yang boleh mengundang penularan Covid-19,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Abdul Hamid memaklumkan pihaknya akan memantau kegiatan penyeludupan di kawasan pantai bagi mengawal aktiviti penyeludupan rokok.

Abdul Hamid berkata, pihaknya percaya aktiviti penyeludupan rokok ini berleluasa ketika ini menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan menggunakan penghantar makanan untuk mengedarkan bekalan itu.

"Anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya akan melakukan pemeriksaan secara rawak terhadap penghantar makanan bagi memastikan tiada pihak membawa barang tidak sepatutnya,” katanya ketika mengulas mengenai video seorang penghantar makanan membawa bekalan rokok seludup yang tular di media sosial semalam.