PKPD Menara City One: Terus beri kerjasama

Menara City One - Foto Bernama
Menara City One - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai 3,200 penghuni di 502 unit kediaman dan premis perniagaan Menara City One Jalan Munshi Abdullah di sini, digesa supaya terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di premis tersebut.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, meski lebih 90 peratus daripada jumlah penghuni di situ bukan warganegara namun menjadi tanggungjawab kerajaan melaksanakan kawalan ketat di lokasi itu apabila ia melibatkan soal nyawa.

Annuar memaklumkan seramai 51 petugas terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bertugas dan ditempatkan di situ sejak penguatkuasaan PKPD.

“Kerajaan tanpa berlengah terus laksanakan PKPD di Menara City One selepas mendapati berlaku kenaikan kes secara mendadak di situ sebelum ini.

“Kita gesa penghuni di blok ini agar beri perhatian dan terus beri kerjasama kepada petugas di situ,” katanya pada sidang media secara live di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan memaklumkan sebanyak 659 kes positif Covid-19 direkodkan di kawasan Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga jam 12 tengah hari semalam.

Menurutnya, sebanyak 318 kes direkod di kawasan Parlimen Seputeh; Batu (26 kes); Kepong (12 kes); Segambut (60 kes); Bukit Bintang (45 kes) dan 27 kes direkod di Lembah Pantai.

"Putrajaya kini merekod 37 kes; Wangsa Maju (30 kes); Setiawangsa (22 kes); Titiwangsa (37 kes); Cheras (11 kes) dan Bandar Tun Razak (34 kes).

Artikel Berkaitan:

“Seramai 170 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital manakala 477 lagi pesakit masih dirawat. Kuala Lumpur mencatat sembilan kematian sehingga semalam," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memantau secara terperinci kes Covid-19 di Wilayah Persekutuan bagi memastikan segala gerak kerja dan usaha seperti mana diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dipandu arah oleh KKM terlaksana dengan baik dalam kawasan ini.

“Kita mesti berjaya dalam mengawal dan menyelamatkan WP daripada penularan wabak secara tidak terkawal,” katanya.

Terdahulu, kawalan keselamatan di pintu masuk Menara City One Jalan Munshi Abdullah di sini diperketatkan susulan arahan PKPD di lokasi berkenaan bermula 31 Mac lalu.

Penduduk bukan sahaja tidak dibenarkan keluar, malah orang luar termasuk pelawat juga tidak dibenarkan melepasi pintu kawalan keselamatan.