Covid-19: Kes pulih tertinggi direkodkan hari ini

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan bilangan kes discaj terbaharu pesakit yang telah pulih dan tertinggi sehingga ke hari ini pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan bilangan kes discaj terbaharu pesakit yang telah pulih dan tertinggi sehingga ke hari ini pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan kes pulih tertinggi hari ini sejak wabak Covid-19 melanda negara, iaitu 236 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1,241 kes.

"Ini adalah kes pulih tertinggi dengan peningkatan peratusan sebanyak 32.72 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif," katanya.

Menurutnya, kematian berkaitan Covid-19 pula adalah satu kes pertambahan dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 62 kes.

"Kes kematian ke-62 merupakan kes ke-3663 positif Covid-19 melibatkan lelaki berumur 67 tahun serta mempunyai penyakit kronik.

"Pesakit mempunyai sejarah kontak rapat dengan beberapa kes indeks positif Covid-19 daripada perhimpunan di Srri Petaling iaitu kes ke-1265, kes ke-1266, kes ke-1267, kes ke-1404 dan kes ke-2549.

"Dia telah dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu pada 29 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia jam 10.22 pagi semalam," katanya.

Beliau berkata, sehingga jam 12 tengah hari ini, sebanyak 131 kes baharu dilaporkan.

Artikel Berkaitan:

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan positif 3,793 kes," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 102 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Daripada jumlah itu, 54 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Sementara itu, menurutnya, KKM sedang melakukan pengesanan kontak dan ujian saringan terhadap 222 pelarian Rohingya yang tiba di Langkawi semalam.

"Mereka telah diasingkan dan kita akan lakukan saringan," katanya.