Netizen pilih beli barang di kedai berbanding dalam talian

Paparan keputusan pengundian melalui Facebook Sinar Harian.
Paparan keputusan pengundian melalui Facebook Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Pembelian barang keperluan harian di kedai menjadi pilihan ramai sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding dalam talian walaupun kaedah itu lebih mudah dan pantas.

Berdasarkan kaji selidik dilakukan Sinar Harian, sebanyak 78 peratus responden memilih kedai sebagai destinasi terbaik untuk membeli barang keperluan manakala hanya 22 peratus memilih kaedah pembelian dalam talian.

Kaji selidik dalam Facebook Sinar Harian itu dilakukan selama 24 jam yang berakhir 2 petang tadi melibatkan seramai 5,900 responden dan rata-rata netizen memberi pelbagai komen mengenai perkara tersebut.

Antara pengguna laman sosial yang bersetuju memilih kedai ialah Hasridzuan Hassan yang memberi alasan bahawa tidak semua barang boleh dibeli menggunakan dalam talian.

"Nak beli daun sup tiga batang serai lima batang kenalah pergi kedai runcit juga," katanya.

Izat Razak juga bersetuju dengan pendapat Hasridzuan kerana keperluan barang dapur sukar untuk dibeli dalam talian, namun jika mahu membeli makanan, ia lebih mudah.

Najeeb Sulaiman pula berpendapat harga barangan dalam talian agak mahal berbanding di kedai.

"Online (dalam talian) mahal, beli lauk tak puas hati tentang kebersihan kerana kalau beli, kita tak tahu cara penyediaan masakan mereka bersih ke pengotor.

Artikel Berkaitan:

"Cukup sekali beli 'online' makanan, rasa menyesal duit habis, makanan ke laut," katanya.

Shahril Redzuan berkata, "Beli sendiri, tak pernah pun beli online (dalam talian). Lagi jimat rasanya."