X

Kindly register in order to view this article
!

Selepas Makcik Kiah, ini pula untuk Madam Lee, Haji Salleh dan Surjit Kaur

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (Tambahan) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan contoh mudah bagi membolehkan rakyat memahami Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (Prihatin) PKS Tambahan yang diumumkan di sini hari ini.

Beliau memberikan contoh pertama iaitu Lee Beauty Saloon iaitu sebuah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang terlibat dalam sektor perniagaan dandanan rambut.

Kedai itu mempunyai dua orang pekerja tempatan yang semuanya bergaji kurang RM4,000 dan pemilik Lee Beauty Saloon iaitu Madam Lee ingin merancakkan semula perniagaannya selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dengan pelaksanaan semua bantuan yang telah diumumkan kerajaan, Madam Lee boleh mendapat manfaat subsidi upah tiga bulan berjumlah RM7,200 dan geran mikro sebanyak RM3,000. Keseluruhan manfaat yang diterima oleh Madam Lee ialah sebanyak RM10,200," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakej tambahan RM10 bilion bantu PKS, pekerja tempatan

Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung perutusan khas langkah tambahan bagi pakej tersebut yang disiarkan di stesen televisyen tempatan di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, contoh kedua ialah Restoran Mi Kolok Haji Salleh di Kuching Sarawak yang mempunyai lima orang pekerja tempatan bergaji RM4,000 ke bawah dan dua orang pekerja asing.

Bagi menampung keperluan aliran tunai dalam tempoh PKP, pemilik restoran ini boleh mendapatkan pinjaman kredit mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) sebanyak RM50,000 dan subsidi upah untuk lima orang pekerja berjumlah RM18,000.

"Di samping itu, pemilik restoran ini juga boleh menikmati penjimatan daripada pengecualian sumbangan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan HRDF (Tabung Pembangunan Sumber Manusia) sebanyak RM8,400.

"Tangguhan cukai berjumlah RM5,200, diskaun levi pekerja asing sebanyak RM2,300 dan diskaun bil elektrik sebanyak RM300. Keseluruhan manfaat yang boleh diterima tidak termasuk pinjaman kredit mikro ialah sebanyak RM34,200 untuk tempoh tiga bulan," ujarnya.

Contoh terakhir yang diberikan perdana menteri ialah Syarikat Surjit Kaur Sdn Bhd yang merupakan sebuah syarikat bersaiz kecil dalam sektor perkilangan perabot dengan 15 orang pekerja.

Lima orang adalah pekerja tempatan bergaji RM4,000 ke bawah, 10 orang pekerja asing dan selebihnya pekerja tempatan bergaji lebih RM4,000.

Bagi memastikan syarikat dapat menampung keperluan aliran tunai dalam tempoh PKP, Syarikat Surjit Kaur boleh mendapatkan pinjaman Special Relief Facility (SRF) sebanyak RM500,000 dan subsidi upah berjumlah RM18,000.

"Selain itu, syarikat juga boleh menikmati penjimatan melalui pengecualian sumbangan KWSP dan HRDF sebanyak RM8,400, diskaun levi pekerja asing sebanyak RM4,600, tangguhan cukai PKP Mikro sebanyak RM32,700 dan diskaun bil elektrik sebanyak RM100.

"Keseluruhan manfaat yang diperoleh syarikat ini tidak termasuk pinjaman SRF ialah sebanyak RM63,800," kata beliau.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus