Ahli Parlimen Umno lompat parti buat u-turn?

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Enam Ahli Parlimen BN yang mengumumkan keluar Umno bulan lepas dikatakan akan membuat pusingan-U dan memohon untuk kembali menjadi ahli Umno.

Difahamkan, mereka ingin kembali semula ke dalam Umno setelah menerima tekanan undang-undang berikutan tindakan saman terhadap mereka yang dibuat akhir bulan lepas.

Sumber parti memberitahu terdapat perbincangan antara mereka dengan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Jemaah Penasihat Parti, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Mereka sudah pun menyerahkan permohonan menjadi ahli parti kepada ibu pejabat minggu lalu,” katanya seperti dipetik dari laporan Berita Harian.

Ahli Parlimen yang dimaksudkan adalah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Tiga yang lain adalah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan beliau tidak menerima maklumat rasmi berhubung perkara itu setakat ini.

"Kalau nak pengesahan elok tanya mereka yang berkenaan dahulu. Buat masa ini walaupun ada dibincangkan tapi tiada keputusan yang khusus mengenainya.

Artikel Berkaitan:

"Borang nak masuk Umno belum sampai di meja saya walaupun saya ada dengar khabar begitu," katanya.

Bagaimanapun, menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, Umno parti terbuka dan tidak pernah memusuhi bekas ahlinya.

"Kita memahami situasi dilalui kawan-kawan kita yang menyebabkan mereka membuat keputusan tertentu. Tetapi mereka semua kawan-kawan kita, kita kekalkan hubungan peribadi yang baik dengan mereka.

"Jadi kalau mereka berubah fikiran, itu satu perkara yang boleh kita bincangkan. Tidak sampai berpatah arang berkerat rotan," katanya.