X

Kindly register in order to view this article
!

UTM hasilkan Pondok Nyah Cemar Automatik cegah Covid-19

UTM mencipta Pondok Nyah Cemar Automatik dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19 yang berfungsi secara automatik dan mampu melakukan nyah cemar keseluruhan anggota badan individu.
A
A

JOHOR BAHRU - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil inisiatif mencipta UTMShield Automated Disinfection Chamber atau Pondok Nyah Cemar Automatik dalam usaha menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Pondok Nyah Cemar tersebut dicipta menggunakan teknologi sensor pergerakan dan mekanik bendalir yang terdiri daripada pam dan sistem semburan serta dihasilkan di Makmal Pengeluaran, Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, UTM.

Ringan dan mudah alih serta mudah digunakan, pondok berkenaan berfungsi secara automatik yang mampu menyah cemar keseluruhan badan semua individu terutamanya petugas barisan hadapan semasa wabak Covid-19.

UTM dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, pondok berkenaan menggunakan kaedah sensor untuk mengaktifkan penyembur nyah cemar secara automatik terhadap individu yang melalui pondok berkenaan.

"Kemudahan ini boleh dimanfaatkan pelbagai pihak seperti petugas hospital, pusat kesihatan serta kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas melakukan operasi nyah cemar di kawasan tertentu seperti di pasar raya, pejabat, masjid dan surau.

"Projek ini hasil usahasama penyelidik dan pelajar Fakulti Kejuruteraan terdiri daripada Sekolah Kejuruteraan Mekanikal dan Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, diketuai Pengerusi Frontier Materials Research Alliance UTM, Profesor Dr Safian Sharif," demikian menurut kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, projek berkenaan adalah satu daripada beberapa Projek Covid-19 UTM di bawah pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTM, selaras dengan misi UTM Prospering Lives.

UTM turut menyediakan peruntukan dalam bentuk geran penyelidikan kepada beberapa projek Covid-19 UTM bagi memenuhi keperluan pihak tertentu dalam melawan wabak Covid-19.

"Dengan penghasilan produk ini, UTM berharap agar produk yang dibangunkan dapat membantu masyarakat mengatasi penularan dan memutuskan rantaian wabak Covid-19 dengan mengamalkan kebersihan diri melalui penggunaan teknologi tempatan," kata kenyataan itu.

UTM juga turut mengalu-alukan sumbangan daripada industri dan individu untuk turut sama dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19 memandangkan bekalan bahan mentah agak sukar diperoleh dan kos yang meningkat.

Semalam, UTM menyalurkan bantuan seperti menghasilkan kotak aerosol, topeng pelindung muka dan pencuci tangan ciptaan universiti itu untuk petugas barisan depan Hospital Permai dan Hospital Sultanah Aminah di sini selain Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus