12 penjara seluruh negara bantu jahit PPE petugas kesihatan

Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said melihat banduan-banduan Penjara Penor giat menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas kesihatan yang mengendalikan pesakit Covid-19 hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said melihat banduan-banduan Penjara Penor giat menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas kesihatan yang mengendalikan pesakit Covid-19 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 12 penjara di seluruh negara terbabit menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas kesihatan semasa mengendalikan pesakit Covid-19.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, semua bengkel jahit penjara yang terlibat juga memberi keutamaan kepada pembuatan PPE memandangkan keperluannya yang mendesak sekarang ini.

"Tindakan ini sebagai inisiatif Jabatan Penjara untuk membantu meringankan beban kerajaan dalam isu menangani Covid-19, selain mengurangkan risiko yang dihadapi petugas barisan depan khususnya kakitangan kesihatan.

"Kita berterima kasih kepada usaha yang ditunjukkan penghuni penjara yang bertungkus-lumus setiap hari memastikan bekalan PPE mencukupi dan proses ini juga dilakukan secara sukarela oleh penjara terlibat," katanya.

Ismail berkata demikian kepada Bernama selepas meninjau proses menghasilkan PPE oleh Bengkel Jahit Penjara Penor di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Penjara Pahang Datuk Ab Basir Mohamad dan Pengarah Penjara Penor Datuk Abu Hasan Hussain.

Usaha yang dilakukan itu juga mendapat sokongan daripada kerajaan negeri masing-masing yang menyumbang bahan selain berperanan mengagihkan PPE yang siap ke hospital yang memerlukan.

"Kita juga bersyukur dengan reaksi positif yang diterima daripada masyarakat apabila mengetahui terdapat penghuni penjara menjahit PPE sebagai sumbangan mereka dalam suasana getir yang dihadapi negara.

"Maklum balas sebegini diharap dapat membantu membuang stigma yang sering dikaitkan dengan penghuni penjara dan semoga masyarakat lebih terbuka menerima semula mereka yang sudah insaf dengan kesilapan sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail berkata, kemahiran yang dipelajari dalam penjara juga dilihat membantu bekas banduan memulakan hidup baharu memandangkan ramai dalam kalangan mereka yang ditemui di bengkel itu berhasrat mahu menjadikan bidang jahitan sebagai sumber pencarian selepas dibebaskan. - Bernama