Rakyat Malaysia di Singapura ingin kembali perlu bebas Covid-19

Ismail Sabri bercakap pada sidang media di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto: Bernama
Ismail Sabri bercakap pada sidang media di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Kerajaan kekal dengan keputusan bahawa rakyat Malaysia di Singapura yang ingin pulang ke negara ini perlu disahkan bebas pandemik koronavirus (Covid-19) daripada kerajaan negara itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu telah dipersetujui kedua-dua negara dalam perjanjian awal sebelum ini.

“Arahan daripada kita (kerajaan Malaysia) adalah mereka tidak boleh pulang selagi tidak mendapat kelulusan yang mengatakan mereka bebas daripada Covid-19 daripada kerajaan Singapura.

“Itu perjanjian awal kita dan mereka mesti mengeluarkan surat yang mengesahkan mereka lepas saringan tersebut atau negatif wabak tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, ketika ini terdapat perubahan dalam perjanjian awal sebelum ini.

“Kita telah meminta kepada Kementerian Luar dan mereka mempunyai jawatankuasa kerja antara Kementerian Luar Malaysia dan Singapura serta wakil Kementerian Sumber Manusia, kerajaan negeri Johor untuk berunding bagi syarat baharu itu.

“InsyaALLAH saya percaya pagi esok pasti Kementerian Luar akan memaklumkan kepada kita mengenai syarat-syarat yang telah dipersetujui,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan setakat hari ini, kerajaan masih tidak membenarkan rakyat Malaysia memasuki negara ini sebelum selesai rundingan baharu itu.

Artikel Berkaitan: