X

Kindly register in order to view this article
!

Dua suspek samun ditangkap kurang 24 jam

Polis menunjukkan antara barang yang dirampas.
A
A

JELEBU - Polis berjaya menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan samun dan pecah rumah di Simpang Pertang di sini, kurang daripada 24 jam selepas waktu kejadian, semalam.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek berusia 29 dan 30 tahun itu ditahan di Kuala Klawang pada 2.05 petang, hasil risikan dan Ops Cantas yang dilakukan oleh pihaknya.

“Suspek sebelum itu memecah masuk sebuah rumah di Simpang Pertang pada 4.30 pagi. Mangsa yang berusia 48 tahun, menyangka suspek adalah ibunya.

“Bagaimanapun sebaik sahaja mangsa keluar dari bilik, dia melihat dua lelaki tidak dikenali berada di ruang tamu yang kemudian memberi amaran sambil menunjukkan sebilah parang ke arah mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kamarul Rizal, mangsa dan ibunya, dipaksa duduk dengan menundukkan kepala sambil meletakkan tangan di atas kepala oleh suspek sebelum menyerahkan wang tunai RM2,500 dan dua telefon bimbit.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Simpang Pertang.

“Hasil siasatan lanjut mendapati dua suspek itu mempunyai 17 dan 12 rekod dadah, serta merupakan penjenayah dikehendaki polis Temerloh, Pahang dan Bandar Hilir, Melaka.

“Ketika tangkapan, polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sebotol arak, satu kotak yang mengandungi mesin gerudi dan 11 tin air minuman," katanya.

Suspek direman lima hari bermula hari ini hingga Jumaat dan siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus