Enam pasar awam diarah henti operasi Jumaat ini: MPK

Jusman
Jusman
A
A
A

KEMAMAN - [DIKEMASKINI] Enam pasar awam di Kemaman diarahkan menghentikan operasi Jumaat ini bagi membolehkan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) melakukan kerja-kerja nyah cemar sebagai langkah pencegahan penularan koronovirus (Covid-19).

Pasar awam terbabit ialah Pasar Besar Cukai, Pasar Binjai, Pasar Borong Dusun Nyiur, Pasar Kuala Kemaman, Pasar Air Putih dan Pasar Tani Kekal Kerteh.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Jusman Ibrahim berkata, kerja-kerja pembersihan itu juga mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah Kemaman dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Pejabat Kesihatan daerah Kemaman.

"Pada hari berkenaan, kerja-kerja cucian dan nyah cemar secara menyeluruh akan dilakukan mengikut tatacara pembersihan dan disinfeksi di tempat awam dengan menggunakan bahan yang diluluskan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Notis penutupan semua pasar awam dikeluarkan Majlis Perbandaran Kemaman (Foto: Ihsan Majlis Perbandaran Kemaman)
Notis penutupan semua pasar awam dikeluarkan Majlis Perbandaran Kemaman (Foto: Ihsan Majlis Perbandaran Kemaman)

Jusman berkata, semua peniaga yang terlibat dikehendaki mematuhi arahan penutupan dan larangan operasi ini.

"Warga Kemaman juga dinasihatkan merancang pembelian lebih awal dan tidak digalakkan sama sekali melakukan pembelian panik kerana hanya pasar awam yang terlibat dengan penutupan pada hari berkenaan," katanya.

Selain pasar awam katanya, MPK juga memberi tumpuan kepada premis lain seperti pasar raya dan bank.

Artikel Berkaitan:

"Pihak berkenaan perlu sentiasa memastikan pelanggan mengambil langkah pencegahan jangkitan dengan mengekalkan jarak sosial satu meter antara individu dan perlu melakukan amalan kebersihan iaitu sentiasa mencuci tangan dengan sabun atau handsanitizer," katanya.