Beri kebenaran kilang arak beroperasi dalam tempoh PKP wajar dikecam

Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin
Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas menyifatkan keputusan membenarkan kilang arak meneruskan operasinya dan termasuk sektor pembuatan kritikal dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah suatu tindakan yang perlu dikecam.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin, berkata, umat Islam seluruh negara terkejut dengan kebenaran yang didakwa disahkan oleh kilang tersebut.

"Pemuda Pas menghormati hak non-Muslim dalam hal ini, namun perlulah diingatkan bahawa memasukkan minuman alkohol di dalam senarai penting (kritikal) adalah tindakan keterlaluan sekali gus menafikan kepentingan industri lain yang lebih wajar diutamakan berbanding minuman beralkohol.

"Pemuda Pas berpandangan kerajaan seharusnya mendidik rakyat menjauhi budaya meminum arak kerana telah terbukti lebih banyak mendatangkan mudarat berbanding manfaat.

"Ia dapat dilihat melalui statistik kemalangan jalan raya yang berpunca daripada pemandu mabuk sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pertengahan Mac lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Pemuda Pas berharap Jemaah Menteri dapat membincangkan perkara itu di dalam mesyuarat Kabinet dan membuat penilaian semula terhadap kebenaran berkenaan.

"Desakan kami ialah surat kebenaran yang dikeluarkan oleh kerajaan tersebut perlu dipertimbangkan untuk ditarik kembali demi menjaga kemaslahatan rakyat.

"Jika tidak, negara perlu bersedia dengan kemurkaan yang lebih besar daripada ALLAH SWT akibat kelekaan membenarkan keputusan sebegini terlaksana di bumi Malaysia ini," katanya.

Artikel Berkaitan: