Aruz dilancar, sudah terima 2,200 tempahan

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking (tiga, kiri) melancarkan Perodua Aruz di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini. - Foto Bernama
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking (tiga, kiri) melancarkan Perodua Aruz di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perodua Aruz, kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharu Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yang dilancarkan malam hari ini, telah menerima sebanyak 2,200 tempahan sejak 3 Januari lepas.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pelancaran itu juga sejajar usaha Perodua bagi memanfaatkan perkembangan segmen SUV di peringkat global.

“Kalangan pembeli menggemari kepelbagaian cirinya seperti selesa, aras pemanduan yang tinggi, ketampakan lebih jelas serta ruang lebih besar sambil mengekalkan elemen kompak.

“Malah, penampilan SUV ini memaparkan gaya hidup aktif, sukakan cabaran serta beraspirasi yang diinginkan ramai," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu di sini, hari ini.

Aruz yang berkapasiti tujuh tempat duduk itu dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangda dan Industri ,Datuk Darell Leiking dan disaksikan oleh Duta Jepun Ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa serta Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin.

Kenderaan itu ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5 X dan 1.5 Advance dengan harga atas jalan tanpa insurans iaitu masing-masing RM72,900 dan RM77,900 bagi Semenanjung Malaysia.

Mengulas selanjutnya, Zainal Abidin berkata, penyertaan Perodua dalam segmen SUV itu turut menempatkannya dalam skala baharu yang membolehkan syarikat itu meningkatkan kepuasan pengguna ke tahap seterusnya.

Selain 95 peratus komponennya dihasilkan di peringkat tempatan, Perodua Aruz juga merupakan kenderaan keempat Perodua yang dilengkapi ciri cekap tenaga dengan kecekapan bahan api sehingga 15.6 kilometer/liter serta waranti lima tahun/150,000 kilometer.

Artikel Berkaitan:

SUV itu ditawarkan dalam lima warna – putih 'Ivory White,' perak 'Glittering Silver,' biru 'Electric Blue,' kelabu 'Granite Grey' dan warna baharu hijau 'Amazon Green.'

Tawaran menarik turut menanti pelanggan yang mana bermula 9 Januari, pembelian insurans motor Perodua 'Total Protect Plus' tidak hanya menikmati ganjaran Perodua 'Auto Assist' secara percuma tetapi juga bilangan pemandu tanpa had secara percuma, elaun banjir sehingga RM1,000 serta perlindungan Kemalangan Peribadi sehingga RM10,000. - Bernama