X

Kindly register in order to view this article
!

Lantikan politik wajar ditamatkan perkhidmatan

Mustaffar Kamal
A
A

KUANTAN - Lantikan politik beberapa individu di Pertubuhan Peladangan Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) wajar digugurkan selepas jawatan Datuk Mazlan Aliman sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) ditamatkan pada 1 April lalu.

Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid berkata, tindakan menamatkan atau menggugurkan daripada jawatan itu selaras dengan keputusan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menamatkan perkhidmatan Mazlan.

Menurutnya, ahli peladang mempersoalkan tindakan segelintir individu yang dilantik atas tiket politik tetapi dilihat masih berada dalam PPN dan PPK.

"Kini, Menteri terdahulu sudah tiada, malah, Pengerusi LPP yang dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga telah ditamatkan perkhidmatannya.

"Jadi, bagaimana lantikan politik kerajaan PH di PPN dan PPK masih boleh terus kekal dengan jawatan mereka, tidakkah mereka sedar yang melantik mereka sudah tiada dan ditamatkan perkhidmatan," soalnya menerusi kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Khidmat Mazlan sebagai Pengerusi LPP ditamatkan

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) menamatkan perkhidmatan Mazlan selaku Pengerusi LPP berkuat kuasa 1 April lalu.

Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, keputusan berkenaan diambil selaras dengan penyusunan barisan Anggota Pentadbiran Kerajaan yang dibuat pada 9 Mac lalu.

Dalam pada itu, Mustaffar Kamal meminta mereka yang memegang jawatan melalui lantikan politik di PPN dan PPK segera melepaskan jawatan masing-masing.

"Pandangan saya, mereka sepatutnya malu menggalas tugas diberikan kerana 'bos' mereka sudah tiada, demi maruah dan harga diri lepaskanlah jawatan.

"Penamatan segera jawatan lantikan politik di PPN dan PPK perlu dibuat bagi memastikan rangsangan sebanyak RM1 bilion kepada Dana Jaminan Makanan yang diumumkan kerajaan PN sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak Covid-19 dapat digerakkan dengan sempurna," katanya.

Tambahnya, ini kerana mereka terlibat secara langsung bagi menyalurkan bantuan kepada golongan peladang tetapi bagaimana ia hendak dilaksanakan kerana mereka kurang memberikan kerjasama.

"Saya berpandangan, biarlah individu yang betul-betul berkebolehan, berwibawa dan layak dilantik di PPN serta PPK demi memastikan gerak kerja di peringkat berkenaan tidak terganggu," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!