Isu-isu di bawah Akta Hasutan akan ditangani melalui akta baharu

Dr Mujahid Yusof. - Foto Bernama
Dr Mujahid Yusof. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Isu-isu yang melibatkan perpaduan, sensitiviti kaum dan agama yang kini di bawah Akta Hasutan akan ditangani melalui akta-akta baharu yang akan digubal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, isu berkenaan antara yang dibincangkan pada Mesyuarat Kabinet hari ini yang antara lain bertujuan untuk memastikan undang-undang baharu itu nanti tidak mudah disalah gunakan oleh mana-mana pihak.

“Semua isu tersebut dulu diletakkan di bawah Akta Hasutan dan akta tersebut kita mahu gantikan dengan akta yang lebih tidak mudah disalah guna,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Skim Bantuan Khas Kanak-Kanak Orang Kurang Upaya (OKU) Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di sini, hari ini.

Mujahid berkata, jemaah menteri turut membincangkan mengenai komitmen kerajaan untuk membanteras korupsi melalui perancangan jangka panjang.

"Ianya akan dilaksana melalui kementerian-kementerian dalam hal yang melibatkan tadbir urus korporat, pentadbiran dan perolehan serta parti-parti politik seperti tadbir urus politik yang akan menjadi asas kepada pelan anti rasuah negara yang akan diumum Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lama lagi," katanya.

Mengulas isu paparan cahaya lampu berbentuk lambang salib di Grace Residence, Jelutong, Pulau Pinang, Mujahid meminta kontraktor dan pemaju bangunan memikirkan impak sesuatu projek bagi mengelak timbulnya kebencian atau diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk merapuhkan hubungan antara agama di negara ini.

Katanya, insiden itu juga harus diteliti sama ada disengajakan atau sebaliknya dan beliau masih menunggu laporan rasmi daripada Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan penjelasan Kerajaan Pulau Pinang berhubung perkara itu.

Mengenai Program Skim Bantuan Khas Kanak-Kanak OKU Baitulmal MAIWP, Mujahid berkata bantuan itu memfokuskan kepada kebajikan, rawatan dan pemulihan 40 orang anak-anak OKU terpilih yang mempunyai masalah seperti autisme dan disleksia.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak RM500 hingga RM1,000 sebulan akan diagihkan kepada mereka yang layak dengan peruntukan tahunan sebanyak RM164,000 yang telah ditentukan MAIWP bagi meringankan beban ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke pusat-pusat yang menyediakan rawatan dan pemulihan, katanya. - Bernama