X

Kindly register in order to view this article
!

Bank Rakyat, Presma jalin kerjasama strategik

Rosman (tiga dari kanan) dan Jawahar (tiga dari kiri) pada Majlis MoU kerjasama antara Bank Rakyat dan Presma di Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A

BANK Rakyat dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memulakan langkah kerjasama strategik untuk memperoleh manfaat bersama bagi menghadapi koronavirus (Covid-19).

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed berkata, melalui MoU itu Bank Rakyat menyokong 4,000 ahli Presma mendapatkan akses kepada Kemudahan Bantuan Khas (SRF) Bank Negara Malaysia (BNM) serta Program Pembiayaan Khas Bank Rakyat (BizCare).

Katanya, kerjasama itu merupakan satu platform yang baik bagi memanfaatkan kebolehan kedua-dua pihak, terutamanya ketika negara sedang dilanda penularan Covid-19.

“Baru-baru ini, kami juga telah melancarkan kempen BizCare dengan peruntukan kemudahan pembiayaan bernilai RM300 juta untuk membantu usahawan mengekalkan kesinambungan perniagaan. Kempen akan berlanjutan selama enam bulan sehingga 30 September 2020,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata, kerjasama itu turut membolehkan kedua-dua pihak mewujudkan kerjasama erat antara perniagaan dengan institusi perbankan, sekali gus meningkatkan promosi produk komersial dan runcit serta perkhidmatan Bank Rakyat kepada ahli Presma.

“Inisiatif sejajar dengan komitmen bank untuk membangunkan sistem perbankan Islam yang komprehensif seterusnya menyumbang kepada proses pertumbuhan dan pembangunan komuniti dan negara,” katanya.

Majlis menandatangani MoU itu telah disempurnakan oleh beliau dan Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali Taib Khan disaksikan oleh Ketua Pegawai Perbankan Perniagaan Bank Rakyat, Abdul Razak Abu Bakar dan Timbalan Presiden Presma, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus