X

Kindly register in order to view this article
!

Berbatov nasihat Werner jangan pilih Liverpool

BERBATOV
A
A

BEKAS bintang Manchester United, Dimitar Berbatov menasihatkan penyerang RB Leipzig, Timo Werner supaya memilih gergasi Jerman, Bayern Munich berbanding Liverpool untuk memperkembangkan kariernya bola sepaknya.

Menurutnya, Bayern dilihat pasukan lebih sesuai buat pemain berusia 24 tahun itu yang sudah terbiasa dengan corak bola sepak di Liga Jerman.

"Secara jujur, Werner sepatutnya memilih Bayern kerana dia tahu suasana di liga tersebut dan mudah untuk dia menyesuaikan diri.

"Lagipun Bayern juga sebuah pasukan yang setanding dengan Real Madrid, Manchester United, Barcelona, Manchester City, Juventus yang setiap tahun layak ke saingan Liga Juara-Juara.

"Berbanding jika dia keluar ke liga lain dan menyebabkan dia perlukan masa untuk cuba memahami liga yang asing buatnya. Jika tidak berjaya menyesuaikan diri, dia akan gagal," katanya.

Werner menjadi buruan beberapa kelab besar seperti Liverpool selepas persembahan hebatnya musim ini dengan 21 gol daripada 25 perlawanan dan turut membantu Leipzig untuk berada di kedudukan ketiga Bundesliga.

Bagaimanapun, kata Berbatov, masalah paling utama buat Werner di Bayern ialah apabila dia perlu bersaing dengan pemain bintang di kelab tersebut.

"Apabila dia masuk ke sebuah pasukan besar seperti Bayern, dia perlu bersaing dengan beberapa pemain hebat seperti Robert Lewandowski, Serge Gnabry dan Kingsley Coman yang menjadi watak penting pasukan itu.

"Posisi Werner itu mempunyai saingan yang hebat. Tetapi, seperti yang saya katakan, dia mampu menyesuaikan diri dengan cepat kerana dia tahu corak permainan di Liga Jerman," katanya.

Dalam masa sama, kata pemain kelahiran Bulgaria itu, Liverpool juga tidak akan menghadapi sebarang masalah jika tidak berjaya mendapatkan khidmat Werner.

"Liverpool telah memiliki pasukan yanng mantap dengan Mohamed Salah, Roberto Firmino, dan Sadio Mane yang berjaya membantu pasukan berada pada tahap yang luar biasa ketika ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!