Kuarantin: Duta serta 54 individu dibenarkan pulang hari ini

Laporan Sinar Harian 21 Mac lalu.
Laporan Sinar Harian 21 Mac lalu.
A
A
A

NILAI - Proses kuarantin bagi 55 individu terdiri daripada warga Malaysia dan tanggungan serta bukan warganegara yang tiba di tanah air dari Teheran, Iran pada 22 Mac tamat selepas mereka dibenarkan pulang hari ini.

Mereka yang melibatkan 46 rakyat Malaysia serta lapan rakyat Singapura dan seorang rakyat Indonesia, yang dikuarantin selama 14 hari di Pusat Pemantauan di Akademi Audit Negara, Bandar Enstek di sini, dibenarkan berbuat demikian seawal pukul 7.30 pagi ini.

Daripada jumlah itu, 29 daripada mereka adalah lelaki dan baki 26 ialah perempuan.

Turut dibenarkan pulang ialah Duta Besar Malaysia ke Iran, Datuk Rustam Yahaya.

Menurut wakil Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), 42, individu pulang dengan diambil oleh ahli keluarga yang dibekalkan dengan surat kebenaran manakala lima yang lain dihantar ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, untuk menaiki pesawat pulang ke Kelantan dan Kedah.

Terdahulu, lapan warga Singapura adalah kumpulan awal dibenarkan pulang dengan menaiki bas yang diuruskan Kedutaan Singapura di Malaysia manakala seorang rakyat Indonesia pulang dengan diambil oleh keluarga suami, yang juga warga tempatan.

Sebelum ini, pesawat khas dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan Kerajaan Malaysia membawa pulang kesemua mereka dari Iran, yang antara negara paling teruk dilanda wabak Covid-19, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 6.34 pagi, 22 Mac.

Misi berkenaan adalah yang ketiga selepas kejayaan membawa pulang rakyat Malaysia terkandas di Wuhan, China pada 4 dan 26 Februari lepas akibat wabak itu, dengan masing-masing berjumlah 133 dan 66 orang. -Bernama

Artikel Berkaitan: