Pencarian jaguh lumba simulator

Alex Yoong mengakui amat teruja dengan kualiti dipamerkan para pelumba yang menyertai edisi ini walaupun Covid-19 merencatkan seketika saingan sukan permotoran antarabangsa.
Alex Yoong mengakui amat teruja dengan kualiti dipamerkan para pelumba yang menyertai edisi ini walaupun Covid-19 merencatkan seketika saingan sukan permotoran antarabangsa.
A
A
A

AXLE Motorsport sekali lagi tampil untuk merancakkan E-Sukan dengan saingan lumba simulator – eRGP SEA – Global Edition yang menyaksikan para pelumba terbaik serantau bersaing untuk menjadi jaguh lumba simulator setelah berjaya dengan penganjuran edisi sulung eRacing Grand Prix SEA (eRGP SEA) tahun lalu.

eRGP SEA – Global Edition ini menampilkan sebanyak enam pusingan perlumbaan yang turut merangkumi dua kategori iaitu GT3 dan GT4.

Kelas profesional GT3 akan menyaksikan para pelumba beraksi menggunakan jentera berkuasa tinggi antaranya Ferrari, Porsche, Mercedes mahupun BMW.

Kategori ini juga akan menampilkan jaguh profesional antarabangsa seperti pelumba Formula E. Edoardo Mortara, pelumba WTCR Yann Ehrlacher, dan pelumba Formula 2 Arjun Maini bertarung secara virtual.

Para pelumba akan dibahagikan kepada dua kumpulan sebelum 10 kelompok pelumba teratas akan mara ke pusingan akhir.

Sementara itu, kelas GT4 pula menyaksikan para pelumba amatur bersaing menggunakan jentera seperti BMW M6 dan KTM X Bow. Kategori ini diperkenalkan bagi memberi ruang dan peluang buat para pelumba baharu untuk menyesuaikan diri dengan perlumbaan simulator.

Bekas jaguh Formula 1 negara Alex Yoong yang juga pengasas Axle Motorsport, mengakui beliau amat tertarik dan teruja dengan kualiti yang dipamerkan oleh para pelumba yang menyertai edisi ini meskipun wabak pandemik Covid-19 yang telah merencatkan seketika saingan sukan permotoran antarabangsa.

“Selepas kejayaan penganjuran edisi tahun lalu, ianya telah mendorong kami untuk lebih giat mengadakan perlumbaan simulator ini dan wabak Covid-19 telah membuatkan kami amat rancak untuk meneruskan e-Racing menerusi eRGP SEA – Global Edition ini.

Artikel Berkaitan:

“Kami amat tertarik dengan kualiti pemanduan yang dipamerkan oleh para pelumba kerana ramai di antara pelumba terbaik telah mengenali platform eRGP SEA ini.” kata Alex.

Alex menambah: “Selari dengan slogan kami iaitu #virtualtoreality, kami tekad untuk merealisasikan impian para pelumba yang mahu berlumba di litar sebenar satu hari nanti. Pertandingan seperti ini juga membantu mereka untuk duduk di rumah dan menggunakan peluang ini untuk berlumba dengan simulator.”

Pemenang kelas GT3 dan pelumba muda terbaik (usia 16-20) bakal berpeluang untuk menguji jentera sebenar bersama dengan pasukan terbaik rantau ini, Black Arts Racing sebagai persiapan mereka menjelang musim baharu perlumbaan F3.

Sementara bagi pemenang kelas GT4 akan menyertai kelas pelumba bersama dengan Akademi Axle Motorsport serta memenangi beberapa barangan eksklusif.

Para pelumba yang berminat perlu melalui pusingan kelayakan melalui carta pelumba di RaceRoom yang dibuka pada setiap Isnin sehingga Khamis setiap minggu.

Pelumba yang berjaya pula akan terlibat dengan sesi latihan pada setiap Jumaat bermula jam 5 hingga 7 petang.

Untuk maklumat lanjut berkenaan dengan eRacing Grand Prix SEA Global Edition 6, sila layari laman Facebook di www.facebook.com/ergpsea atau laman sesawang www.ergpsea.com.