Mahathir kongsi pengalaman bangunkan negara dengan Afrika

Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
A
A
A

DAKAR – [DIKEMASKINI] Negara-negara Afrika bakal memperoleh manfaat besar daripada pelbagai nasihat dan petua mengenai kemajuan dan pembangunan negara daripada Tun Dr Mahathir Mohamad apabila mereka berkumpul di ibu negara Senegal ini untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-3 Mengenai Kemunculan Afrika (3rd International Conference on the Emergence of Africa) (ICEA-III).

Perdana Menteri Malaysia itu, yang dijadualkan tiba di sini pada Rabu, akan menghadiri forum berkenaan bersama-sama Presiden Senegal Macky Sall dan para pemimpin serantau lain pada 17-19 Januari yang memfokus kepada tema utama Kemunculan, Sektor Swasta dan Keterangkuman (Emergence, Private Sector and Inclusiveness).

“Mereka ingin mendengar daripada beliau sendiri mengenai pengalaman Malaysia dalam pembangunan negara. Inilah pemimpin yang telah membawa Malaysia ke arena antarabangsa dan menjadikan Malaysia sebuah negara baharu muncul," kata Duta Besar Malaysia ke Senegal, Dr Shazelina Zainul Abidin pada Selasa.

[ ARTIKEL BERKAITAN: PM hadiri ICEA ketiga di Senegal ]

Dalam taklimatnya kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan Dr Mahathir ke Senegal bagi menghadiri forum pada 16-17 Jan itu, Shazelina berkata, ICEA pada tahun ini juga akan menyentuh kepentingan apa yang dinamakan 'juara nasional' (national champions) dalam usaha untuk menjadi negara baru muncul.

“Kita mempunyai beberapa 'juara’ seperti itu misalnya Petronas dan AirAsia. Jadi mereka hendak mendengar daripada Tun sendiri bagaimana beliau melakukannya, pengajaran yang dapat dipelajari mereka daripada pengalaman kita menjadi negara baru muncul, dan apa peranan yang telah dimainkan oleh juara nasional berkenaan dalam memastikan Malaysia menjadi sebuah negara baru muncul," kata beliau.

Menurut Shazelina yang ditugaskan ke negara Afrika Barat yang mempunyai penduduk seramai lebih 15 juta pada tahun lepas itu, Dr Mahathir adalah ketua kerajaan pertama dari luar Afrika yang menghadiri persidangan itu.

Beliau berkata apabila Senegal mendapat tahu Dr Mahathir akan menghadiri persidangan ICEA-III itu, para pegawainya telah menghulurkan segala bentuk bantuan kepada kedutaan bagi memastikan perkara itu menjadi kenyataan.

Artikel Berkaitan:

“Senegal gembira menyambut kehadiran beliau di sini. Beliau seorang tokoh yang sangat dihormati di Afrika,” kata beliau dan menambah, Dr Mahathir dijadual mengadakan perbincangan dengan Presiden Sall di Istana Presiden sejurus tiba di Dakar.

Ini merupakan lawatan pertama Dr Mahathir ke Senegal dalam tempoh 27 tahun selepas lawatan terakhirnya ke negara ini ialah pada 1992 untuk menghadiri perhimpunan G15.

Semua mata akan tertumpu kepada Perdana Menteri Malaysia yang berusia 93 tahun itu apabila beliau mengambil bahagian dalam beberapa panel perbincangan pada ICEA-III itu.

Dalam lawatan itu, Dr Mahathir akan diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya selain para pegawai kanan kerajaan dari Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

ICEA diwujudkan untuk menyokong kedinamikan ekonomi Afrika berikutan pemulihan ekonomi dunia selepas mengalami kejutan 2016.

Dua edisi pertama ICEA masing-masing pada 2015 dan 2017 di Abidjan, menunjukkan beberapa negara Afrika telah menyasarkan untuk menjadi negara baru muncul dengan merangka formula ke arah itu yang disokong oleh wawasan jangka panjang.

Objektif ICEA-III adalah untuk memperdalami perbahasan mengenai keteguhan pertumbuhan dan keterangkuman dalam perancangan Afrika ke arah kemunculan baru, terutama dalam meletak sektor swasta pada kedudukan lebih baik, yang didukung perkongsian kukuh dengan negara untuk mewujudkan pertumbuhan yang kukuh, tahan dan terangkum, yang menghargai potensi semua wilayah. - Bernama