Mitos Covid-19 dan ketum

A
A
A

Pokok ketum atau nama saintifiknya mitragyna speciosa, yang juga dikenali sebagai kratom, adalah sejenis tumbuhan yang banyak terdapat di negeri-negeri di sebelah utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia. Di sesetengah tempat, pokok ketum juga dipanggil sebagai pokok biak. Daun ketum mengandungi bahan aktif mitragynine, iaitu sejenis alkaloid psikoaktif.

Daun ketum yang direbus dengan air kosong, selain daripada memberi kesan tenang (fungsi otak menjadi sedikit perlahan atau lembap) atau menyebabkan kesan keseronokan yang ketara, boleh juga menyebabkan halusinasi dan khayalan.

Sebab itulah ada penagih dadah yang mencampurkan air rebusan ketum dengan bahan lain seperti ubat batuk; kononnya untuk lebih kick. Ya, ketum boleh membuatkan seseorang menjadi ketagih dan tanda-tanda ketagihan mula kelihatan seawal 28 jam selepas pengambilannya.

Antara gejala penyalahgunaan ketum yang lebih serius adalah psikosis (kesulitan membezakan kenyataan dan imaginasi), halusinasi untuk tempoh yang agak lama, kelakuan agresif, mudah bermusuhan, kuat membenci orang lain dan menjadi keliru dengan pemikiran sendiri.

Ia juga boleh menyebabkan sawan serta menyebabkan kerosakan organ seperti hati dan buah pinggang. Jurnal penyelidikan yang bertajuk Pharmacologic and clinical assessment of kratom pada 2018 melaporkan terdapat 36 kematian disebabkan pengambilan ketum.

Majlis Fatwa Kebangsaan dan para mufti telah mengeluarkan hukum bahawa ketum adalah haram. Ini berdasarkan mafsadah dan mudarat yang lebih besar berbanding manfaatnya.

Alternatif

Mufti Wilayah Persekutuan, yang kini merupakan Menteri Agama, YB Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata: “Daun ketum meskipun ada faedahnya, namun mafsadahnya (kerosakan) lebih besar dan tidak hairanlah kerajaan Malaysia juga telah mengharamkannya melalui Akta Racun 1952, Seksyen 30 (3) dengan menyebutnya sebagai bahan psikotropik.

Ini juga secara tidak langsung kaedah sad al-Zari’ah (menutup jalan-jalan mudarat) yang telah digunakan bagi membendung permasalahan penyalahgunaan daun ketum.”

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, terdapat beberapa perkongsian dalam grup WhatsApp yang mencadangkan air rebusan ketum sebagai ubat alternatif untuk pesakit Covid-19. Kononnya ia amat berkesan dalam menyembuhkan pesakit ini.

Jika dicari perkataan kratom dalam pangkalan data PubMed, akan terpapar 438 pautan jurnal penyelidikan yang berkaitan. Maksudnya, sudah banyak kajian saintifik dilakukan ke atas ketum. Ini belum mengambil kira pangkalan data yang lain. Tiada satu pun laporan yang mengatakan bahawa air rebusan daun ketum adalah anti virus atau mampu menghalang virus, apatah lagi Covid-19.

Memang tidak dinafikan ketum mempunyai ciri-ciri analgesik, iaitu dadah atau ubat bagi mengurangkan sakit, sebagaimana morfin digunakan sebagai penahan sakit di hospital seperti dilaporkan dalam jurnal penyelidikan bertajuk, Mitragyna speciosa: Balancing potential medical benefits and abuse pada 2017.

Tetapi, tiada sedikit pun bukti saintifik, ataupun kajian makmal, yang telah membuktikan air ketum mampu melawan Covid-19. Biasanya, sekiranya ujian makmal berjaya, akan diadakan ujian ke atas binatang dan seterusnya manusia bagi membuktikan kemujaraban dan keselamatan sesuatu ubat.

Menurut laporan Kenya Today, 59 orang maut manakala empat orang kritikal di Afrika Selatan selepas meminum cecair Dettol kononnya bertujuan mencegah jangkitan Covid-19.

Di India pula, sekumpulan 200 orang meminum air kencing lembu, juga untuk melawan Covid-19. Lantaran itu, berwaspadalah apabila menerima apa sahaja maklumat dan sebelum mencuba sesuatu yang kononnya boleh menjadi penawar mahupun pelindung.

*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan.