Zii Jia idam menentang Momota

Zii Jia beraksi menentang rakan senegara Soong Joo Ven pada pusingan kelayakan Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
Zii Jia beraksi menentang rakan senegara Soong Joo Ven pada pusingan kelayakan Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN perseorangan negara, Lee Zii Jia menyatakan hasratnya beraksi menentang pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota pada kejohanan badminton Perodua Malaysia Masters 2019.

Zii Jia, 20, yang kini menghuni ranking ke-42 dunia berkata peluang berdepan juara dunia 2018 itu adalah medan terbaik menimba pengalaman yang mampu memberi impak terhadap perkembangan pembangunan prestasinya.

“Kalau ada peluang lawan dia pun bagus juga sebab boleh ambil pengalaman daripada perlawanan itu, lagi pun dia pemain nombor satu dia jadi saya rasa ia memang satu peluang yang baik untuk saya.

“Sejujurnya secara peribadi saya tidak fikir pasal menang ke kalah. Saya cuma nak cuba yang terbaik dan setiap perlawanan saya ‘set’ mental saya sebegitu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Zii Jia yang beraksi dalam pusingan kelayakan acara perseorangan lelaki hari ini, berjaya meraih dua kemenangan selepas menundukkan rakan senegara, Soong Joo Ven 21-23, 21-13, 24-22 diikuti kejayaan 21-17, 21-16 ke atas pemain Thailand, Sitthikom Thammasin untuk mara ke undian utama kejohanan.

Mengikut undian utama kejohanan yang berlangsung di Axiata Arena itu, Zii Jia perlu menewaskan pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk pada pusingan pertama untuk membolehkannya bertemu Momota di pusingan kedua.

Momota akan bertemu rakan senegaranya, Kento Nishimoto di pusingan pertama.

Sementara itu, dua pemain profesional negara Iskandar Zulkarnain dan Chong Wei Feng gagal mara ke undian utama selepas tewas kepada lawan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Iskandar tewas kepada Saensomboonsuk 21-16, 16-21, 12-21 sementara Wei Feng gagal menyaingi kehebatan pemain Denmark Victor Svendsen apabila kalah 20-22, 21-8, 19-21.

Dalam pada itu, antara acara tumpuan esok adalah aksi pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei menentang pilihan ketiga dari Jepun, Akane Yamaguchi diikuti beregu lelaki profesional negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong berdepan gandingan Di Zijian-Wang Chang dari China.

Gandingan beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga akan membuat penampilan esok dengan bertemu pasangan Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue. - Bernama