24 ditahan gara-gara nasi lemak bungkus!

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BALIK PULAU - Seramai 24 individu termasuk dua wanita ditahan selepas didapati sedang berkumpul untuk membeli nasi lemak bungkus di sebuah rumah di Mukim 3, Sungai Pinang di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, turut ditahan peniaga nasi lemak tersebut kerana menjalankan perniagaan di luar tempoh yang ditetapkan.

Anbalagan
Anbalagan

Menurutnya, kesemua mereka ditahan ketika sepasukan polis dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang melakukan rondaan dalam Ops Covid-19 pada jam 2 pagi.

"Ketika rondaan dijalankan, kita mendapati ada sekumpulan orang awam sedang berkumpul di belakang sebuah rumah di bahagian dapur. Apabila didekati, mereka didapati sedang membeli nasi lemak bungkus yang dijual oleh seorang lelaki berusia 23 tahun.

"Mereka enggan bersurai walaupun diminta pihak berkuasa. Susulan daripada itu, mereka ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain menjalankan perniagaan di luar tempoh sehingga menyebabkan pelanggan berkumpul," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Tambahnya, seramai 11 daripada mereka yang merupakan wanita dan pesalah muda direman dua hari manakala 13 lagi direman tiga hari.

Kesemua disiasat menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 (1)Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020.

Artikel Berkaitan: