X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Lima kematian, 37 positif daripada kluster perjalanan ke Itali

Noor Hisham
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan terdapat lima kes kematian koronavirus (Covid-19) adalah daripada kluster yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara Itali.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati kluster berkenaan iaitu pesakit ke 1,580 telah menjangkiti seramai 37 orang sehingga generasi ketiga di Kuching, Sarawak.

"Lima kes kematian melibatkan kes ke-1,031, kes ke-1,032, kes ke-1,006, kes ke-2,850 dan kes ke-2,210 serta satu kes kritikal yang memerlukan bantuan pernafasan yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Sehingga 5 April 2020, pada jam 12 tengah hari, sebanyak 180 buah negara di seluruh dunia yang terjejas akibat jangkitan Covid-19. Justeru, sememangnya terdapat risiko bagi kes-kes luar negara diimport Covid-19 ke dalam negara dan mengakibatkan penularan di dalam negara," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Justeru, Noor Hisham menegaskan adalah penting agar semua pihak bersikap jujur dengan memberikan maklumat lengkap sekiranya mempunyai sejarah kontak rapat, maklumat berkaitan perjalanan ke luar negara atau pernah terbabit dalam sebarang perhimpunan yang diumumkan kementerian sebagai berkait rapat dengan jangkitan kes positif Covid-19.

"Sekiranya ada yang bergejala semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa atau ketika berada di stesen kuarantin, mereka akan dihantar ke hospital yang dikenal pasti untuk pemeriksaan dan rawatan.

"Mereka yang dikesan positif Covid-19 melalui ujian pengesanan sampel yang dijalankan, akan dirujuk ke hospital dikenalpasti untuk tujuan pengasingan, pemeriksaan, rawatan dan pemantauan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!