Kerajaan Sabah perlu atasi segera lambakan sayur di Kundasang

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah digesa segera menyelesaikan masalah lambakan sayur di Kundasang sehingga menyebabkan lebih 300 peniaga sayur mengalami kerugian.

Ketua Unit Kampong Lipasu, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kinabulu, Jailin Nazrin mengingatkan kerajaan negeri khususnya Menteri Pertanian dan Industri Makanan (KPIM) Sabah, Datuk Wong Hong Jun @Junz Wong agar tidak lepas tangan dan membiarkan masalah itu berlarutan.

Katanya, masalah lambakan sayur di tanah tinggi itu disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain arahan dari kerajaan negeri menerusi Pusat Arahan Covid-19 Sabah.

Selain itu, masalah itu semakin serius berikutan para pemborong sayur dari luar Kundasang tidak dibenarkan masuk dan memborong sayur di daerah tersebut.

Lori-lori dari luar juga tidak dibenarkan beroperasi, masuk dan mengangkut sayur-sayuran di Kundasang atas arahan kerajaan negeri.

"Mengikut prosedur (arahan) PKP, rantaian makanan sepatutnya tidak boleh diganggu dan kerajaan negeri khususnya Pusat Arahan Covid-19 Sabah, sepatutnya patuh kepadanya seperti yang dilakukan di Semenanjung Malaysia bagi menyelesaikan masalah lambakan sayur di Sabah.

"Kerajaan Negeri khususnya KPIM, Sabah Covid-19 Command Centre dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sepatutnya membantu permudahkan pengeluaran dan penghantaran rantaian makanan ini.

"Sayur-sayuran merupakan barangan keperluan oleh rakyat dan pengeluarannya adalah berterusan dan ianya mesti dijual kerana ia merupakan salah satu jenis makanan keperluan rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media bahawa lebih 300 peniaga sayur di Kundasan mengalami kerugian selepas berlakunya lambakan sayur berikutan pelaksanaan PKP.

Menurut Pengerusi Persatuan Penjaja Kundasang, Mariana Taliban, lambakan sayur semakin banyak apabila PKP memasuki minggu kedua.

Berikutan itu, mereka terpaksa mengambil inisiatif dengan menghantar semua sayur yang ada ke Kota Kinabalu untuk dijual separuh harga supaya ia tidak dibuang begitu sahaja.

Selain itu, lambakan sayur yang tidak terjual itu juga diagihkan kepada beberapa kampung di dalam daerah Ranau.

Langkah tersebut bukan sahaja dapat mengelakkan pembaziran tetapi sekali gus mampu membantu individu atau keluarga memerlukan khususnya yang tinggal di kawasan jauh daripada pekan atau bandar.

Dalam pada itu, Jailin berkata, ia merupakan masalah negeri kerana arahan dan keputusan dibuat oleh kerajaan negeri dan PBT sehingga menjejaskan rantaian makanan sedia ada.

Menurutnya, jika PKP dilanjutkan selepas 14 April, sudah tentu lebih ramai peniaga sayur dan petani di Kundasang dan daerah lain akan terjejas dan mengalami kerugian besar.

"Sedangkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ialah perlu memberi keutamaan kepada perkhidmatan keperluan," tegasnya.

Beliau berkata, Junz Wong sepatutnya tahu dan sedar kerana perkara itu telah ditekankan semasa Mesyuarat Exco-Exco Pertanian bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Sebagai Menteri KIPM Sabah, Junz Wong sepatutnya membantu permudahkan rantaian makanan di Sabah agar ianya tidak terganggu selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan," ujar beliau.