Ali Ringgo memang asnaf LZS

LZS memaklumkan pelakon veteran era 1980-an, Ali Ringgo memang penerima zakat asnaf sejak tahun 2017.
LZS memaklumkan pelakon veteran era 1980-an, Ali Ringgo memang penerima zakat asnaf sejak tahun 2017.
A
A
A

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan pelakon veteran era 1980-an, Mohamed Ali Matab Din, 68, atau lebih dikenali sebagai Ali Ringgo yang kisahnya tular di media sosial sejak Jumaat lepas merupakan asnaf berdaftar dengan LZS sejak tiga tahun lalu.

LZS menerusi satu kenyataan dalam Facebook rasminya memaklumkan, pelakon veteran berkenaan masih menerima bantuan kewangan bulanan, bantuan Ramadan dan hari raya serta bantuan sewa rumah.

Menurut kenyataan itu, LZS mengambil maklum kesukaran hidup dialami oleh Ali yang pernah membintangi beberapa filem termasuk Azura, Gila-gila Remaja, Bas Konduktor dan Minah Manja itu.

“Bantuan diberikan kepada beliau sejak tahun 2017 masih berjalan sehingga kini. Bantuan diperolehi selaras dengan asnaf lain yang juga menerima bantuan daripada LZS.

“Beliau (Ali Ringo) telah dinasihatkan untuk berehat dan tidak menjalankan aktiviti hariannya iaitu mencari barang terpakai namun beliau tetap menjalankan aktiviti tersebut kerana bosan tinggal di rumah tanpa berbuat apa-apa,” menurut kenyataan dikeluarkan.

Dalam pada itu, LZS berharap Ali diberikan kesihatan yang baik dan cekal dalam menempuh kehidupan yang mendatang

Terdahulu, tular satu posting mengatakan Ali Ringgo dilaporkan hidup sebatang kara, merempat dan hanya mencari rezeki dengan mencari barangan lusuh bagi menyara kehidupan.

Posting yang dikongsikan seorang pemilik akaun Facebook itu turut dimuatnaik bersama beberapa gambar memaparkan keadaan terkini pelakon berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ali juga dilaporkan kini bergelar orang kurang upaya (OKU) dan mengalami masalah pendengaran selepas terlibat nahas jalan raya sekitar tahun 2014.