60,000 permohonan Musaadah Khaira PPZ dalam tempoh 5 hari

Ahmad Shukri
Ahmad Shukri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima lebih 60,000 permohonan Musaadah Khaira PPZ dalam tempoh lima hari, sejak dibuka 1 April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, bantuan dengan dana RM1 juta dan dibuka secara dalam talian itu telah dihadkan permohonan harian.

Menurutnya, ia bagi membolehkan pasukan PPZ-MAIWP memproses permohonan dan menyalurkan bantuan kepada B40 yang benar-benar memerlukan selepas terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Oleh itu, pihak kami tidak mempunyai isu dalam kekurangan tenaga kerja bagi menguruskan permohonan. Kami akan pastikan setiap permohonan diproses dalam masa tujuh hari setelah diterima.

"Alhamdulillah, dengan usaha keras kami, sebanyak 1, 755 permohonan diluluskan dan 556 daripadanya telah menerima bayaran bantuan Muasaadah Khaira PPZ melalui akaun bank masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menerusi status di Facebook pada Jumaat lalu meminta talian Musaadah Khaira PPZ diperkemas susulan laman web tersebut ditutup sementara selepas menerima permohonan melebihi had harian.

Jumlah permohonan yang tinggi menyebabkan perkhidmatan dalam talian Musaadah Khaira PPZ dihadkan bagi permohonan harian.
Jumlah permohonan yang tinggi menyebabkan perkhidmatan dalam talian Musaadah Khaira PPZ dihadkan bagi permohonan harian.

Fahmi memberikan dua cadangan penambahbaikan iaitu dengan menambah kakitangan bagi mempercepat proses permohonan.

Artikel Berkaitan:

Kedua, proses permohonan dipermudah dengan asnaf yang telah berdaftar diberikan kelulusan terus bagi membolehkan kakitangan menumpukan memproses kelayakan permohonan baharu.

Ahmad Shukri berkata, asnaf yang berdaftar boleh memohon bantuan zakat dengan Baitulmal-MAIWP.

"Mereka boleh menghubungi talian Jejak Asnaf Baitulmal-MAIWP di talian 012-5183614 dan 012-5127614 atau melalui pusat zakat negeri masing-masing.

"Kami yakin pihak Baitulmal-MAIWP telah menjalankan peranan sebaik mungkin membantu asnaf di Wilayah Persekutuan yang berjumlah 24,196 orang telah mendapat beberapa manfaat bantuan zakat sejak 19 Mac yang lalu," katanya.

Musaadah Khaira PPZ adalah bantuan one-off tunai RM300 dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Kompleks Islam Putrajaya Rabu lalu.

Fokus bantuan adalah membantu rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama yang terjejas pendapatan akibat diberhentikan kerja, dicutikan tanpa gaji, dipotong gaji termasuk golongan penjaja dan peniaga kecil yang tidak dapat meneruskan perniagaan.

Bantuan itu adalah dana wakalah syarikat yang membayar zakat di PPZ-MAIWP dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR).