3 Ogos berkemungkinan aksi final Liga Juara-Juara Eropah

Ceferin. - Foto : Fanclub-Magazine
Ceferin. - Foto : Fanclub-Magazine
A
A
A

Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) Aleksander Ceferin memaklumkan 3 Ogos 2020 sebagai tarikh yang berkemungkinan bagi aksi final Liga Juara-Juara Eropah.

Ceferin berkata, sejak pandemik Covid-19 melanda di seluruh dunia, ia telah memberikan kesan kepada dunia sukan di seluruh dunia termasuk arena bola sepak di Eropah yang menyaksikan banyak saingan liga terpaksa ditunda termasuk saingan Euro 2020.

Justeru menurut Ceferin, pihaknya turut mempertimbangkan untuk melakukan perubahan pada saingan peringkat kalah mati bagi saingan berprestij liga bola sepak Eropah itu.

“Kita berada dalam situasi yang luar biasa, oleh itu kita perlu fleksibel pada tarikh perlawanan. Jika krisis (pandemik Covid-19) berakhir awal, kita boleh bermula lebih awal.

“Sasaran asalnya adalah untuk pastikan musim 2019 / 2020 dapat disempurnakan pada akhir Jun, tetapi berdasarkan situasi semasa, kita tidak rasa pandemik Covid-19 ini akan berakhir menjelang tarikh berkenaan.

"Oleh itu, kita buat keputusan bahawa kedua-dua saingan melibatkan Liga Juara-Juara dan Liga Eropah mesti disempurnakan pada 3 Ogos nanti,” katanya.

Sementara itu Ceferin menegaskan semua pihak boleh beraksi mengikut sistem terkini bagi perlawanan peringkat kalah mati bagi saingan Liga Juara-Juara berkenaan.

Cuma katanya, keputusan ketika ini adalah bagaimana untuk memastikan saingan bola sepak ini turut menjamin keselamatan dan kesihatan pemain, penyokong termasuk pengadil bertugas.

Artikel Berkaitan:

“Kita mungkin memerlukan tarikh yang bersesuaian untuk menyempurnakan musim bola sepak ini dan kemudian memulakan musim yang baharu kelak,” katanya.