Bantuan Prihatin: Makcik jual sayur kampung juga lega...

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SEREMBAN - Sejak 20 tahun lepas, Noriah Othman, 62, menyara keluarganya dengan menjual sayuran kampung di sebuah gerai tepi jalan di Sendayan di sini.

Ibu tunggal yang mempunyai empat orang anak itu kehilangan pendapatan sebanyak kira-kira RM60 sehari berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas susulan penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac lepas membolehkan Noriah menarik nafas lega kerana banyak bantuan disediakan kerajaan untuk golongan sepertinya.

Noriah berkata, dia layak menerima bantuan sebanyak RM1,600 bagi isi rumah yang berpendapatan RM4,000 ke bawah, bantuan individu bujang sebanyak RM800 untuk dua orang anaknya yang berpendapatan bulanan RM2,000 ke bawah.

“Tiada apa yang dapat saya ucapkan selain terima kasih kepada kerajaan yang mendengar rintihan rakyat terutamanya golongan yang kais pagi makan pagi seperti saya... hari ini nak dapatkan RM100 pun susah, jika berniaga adalah pendapatan, jika tidak berniaga memang tak ada la pendapatan pada hari itu.

“Jadi dengan adanya bantuan ini saya akan gunakannya untuk menampung perbelanjaan harian yang selama ini saya bertahan menggunakan wang simpanan... bantuan untuk anak-anak saya sebanyak RM800 setiap seorang mungkin mereka boleh gunakan untuk sara hidup mereka yang menyewa bilik di Kuala Lumpur,” katanya.

Dia berkata, penangguhan bayaran pinjaman kenderaan selama enam bulan iaitu sebanyak RM300 sebulan yang berjumlah RM1,800 untuk tempoh enam bulan akan disimpan sebagai tabung kecemasan memandangkan tiada kepastian tempoh pelaksanaan PKP itu yang mungkin akan mengambil masa lebih lama.

Seorang penjaja nasi lemak di Taman Desa Ixora 2, Senawang, Redzuan Mansor, 57, berkata, keadaan yang dilalui ketika ini ternyata agak mencabar kerana beliau tiada pendapatan ketika pelaksanaan PKP.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi melalui bantuan Prihatin, saya akan menerima bantuan sebanyak RM1,600 bagi pendapatan isi rumah di bawah RM4,000 sebulan serta baki Bantuan Sara Hidup sebanyak RM600. Bukan itu sahaja, dua orang anak bujang saya berusia 23 dan 26 tahun masing-masing akan mendapat bantuan bujang sebanyak RM500 dan RM800,” katanya yang sudah berniaga sejak 11 tahun yang lepas.

Dia berkata, bantuan yang diterimanya itu akan digunakan untuk menampung perbelanjaan harian dan sekiranya ada lebihan akan disimpan untuk digunakan sebagai pusingan modal perniagaan selepas berakhirnya PKP nanti.

Peniaga kuih-muih di pekan Gemencheh, Musizmawatie Musa, 32, berkata, bantuan yang diterima sebanyak RM1,600 bagi isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah akan dijadikan sebagai wang kecemasan.

"Pendapatan saya memang bergantung daripada hasil berniaga tetapi setakat ini saya masih ada wang simpanan untuk digunakan bagi menampung perbelanjaan harian semasa PKP ini dan wang bantuan yang diberikan kerajaan itu pula akan digunakan sebaiknya untuk perbelanjaan harian sekiranya berlaku masalah kewangan," katanya.

Dia berkata, penangguhan pinjaman kenderaan selama enam bulan berjumlah RM2,760 dan pengurangan bil elektrik juga dapat membantu beliau ketika menghadapi saat sukar ini.

Pakej Prihatin berjumlah RM250 bilion itu bertujuan melindungi kesejahteraan rakyat bagi menangani impak Covid-19.- Bernama