Ahli perniagaan mengaku tidak salah tuntutan palsu GST RM19 juta

Loo Peng Wah mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan yang dibacakan.
Loo Peng Wah mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan yang dibacakan.
A
A
A

IPOH - Mahkamah Sesyen Ipoh mengambil masa kira kira 45 minit untuk prosiding membacakan 224 pertuduhan terhadap seorang ahli perniagaan yang didakwa berhubung tuntutan palsu bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST), empat tahun lalu.

Loo Peng Wah, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas semua tuduhan sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu membabitkan keseluruhan tuntutan berjumlah RM19 juta bagi tempoh bercukai antara November 2015 hingga Mei 2016.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Taman Permai Ipoh antara 2015 hingga 2016.

Bagi setiap pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 89 (1)(b) Akta GST 2014 yang membawa hukuman denda minimum 10 kali ganda dan maksimum 20 kali ganda daripada amaun cukai atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Azman membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan perlu dijelaskan selewat-lewatnya esok.

Beliau juga memerintahkan pasport tertuduh diserahkan ke mahkamah dan perlu melaporkan diri setiap bulan di Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKMD) di Jalan Tun Abdul Razak, Ipoh.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 1 Mac depan sebagai sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, S Thanganatchya manakala tertuduh diwakili Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed dan Chan Choon Yew.

Pada 2017, tertuduh pernah didakwa atas 22 tuduhan sama membabitkan nilai lebih RM1 juta.

Terdahulu, Thanganatchya mencadangkan kepada mahkamah agar tertuduh dikenakan jaminan RM30,000 untuk setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, Wan Aizuddin yang mewakili tertuduh meminta agar jaminan RM1,000 dikenakan untuk setiap pertuduhan.

"Tertuduh sebelum ini telah dipenjara selama setahun empat bulan dan baru dibebaskan pada Disember lepas kerana tidak dapat membayar wang jaminan sebelum ini yang bernilai RM715,000 sebelum dikurangkan kepada RM165,000," katanya.