X

Kindly register in order to view this article
!

Tanam jagung: Juruteknik kilang raih pendapatan ratusan ribu ringgit

Azmi menunjukkan hasil tuaian jagung yang berwarna ungu atau lebih dikenali King Purple di ladangnya di Kampung Ampang Tinggi baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA PILAH - [DIKEMASKINI] Hasil berbudi pada tanah, seorang juruteknik kilang yang dahulunya memperoleh gaji kira-kira RM3,500 sebulan kini mampu meraih pendapatan lumayan bagi setiap musim tuaian hasil tanaman jagung seluas 76 ekar di sini.

Azmi Abu, 47, juga merancang untuk memperluaskan kawasan tanaman itu, yang terdiri daripada jagung manis serta jagung ungu atau dikenali sebagai King Purple kepada 80 ekar lagi bagi meningkatkan pengeluaran dan hasilnya akan dieksport ke pasaran antarabangsa.

Bapa kepada empat anak itu berkata, kejayaan dia hari ini tidak datang bergolek sebaliknya diraih selepas menempuh pelbagai cabaran dan rintangan kerana menceburi sektor penanaman jagung tanpa sebarang ilmu.

“Dahulu saya bekerja di sebuah kilang di Senawang tetapi bila lihat orang tanam jagung, saya rasa industri ini boleh dikembangkan dan boleh dikomersilkan, dari situlah timbulnya minat untuk jadi petani.

“Pada tahun 2007, saya mulakan secara sambilan kerana belum berani untuk berhenti kerja, saya mula tanam jagung manis seluas tiga ekar dengan modal RM3,000 atas tanah yang disewa di Tanjung Ipoh, Kuala Pilah.

"Tetapi banyak masalah timbul antaranya pertumbuhan pokok tidak sekata, isi jagung tidak penuh selain tanaman diserang ulat. Boleh dikatakan tiada hasil yang diperoleh,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, dia kemudian memutuskan untuk merujuk kepada Jabatan Pertanian Kuala Pilah serta Pertubuhan Peladang Kawasan Tanjung Ipoh, dan akhirnya telah dihantar untuk mengikuti kursus tanaman jagung.

Katanya, selepas mengikuti kursus penanaman jagung yang betul dan lebih bersistematik, pada 2008 dia berjaya mengembangkan projek itu kepada kawasan seluas 17 ekar di Kampung Parit Mainau, Kuala Pilah sebelum mengambil keputusan nekad untuk berhenti kerja serta memberi fokus kepada tanaman tersebut.

“Sehingga kini, saya sudah mempunyai tiga kawasan tanaman di tanah persendirian di Kampung Ampang Tinggi dengan kawasan seluas 76 ekar, iaitu 70 ekar jagung manis yang boleh menghasilkan kira-kira 400,000 tongkol jagung setiap musim manakala enam ekar lagi King Purple yang boleh menghasilkan 60,000 tongkol setiap musim.

“Dari segi hasil pendapatan pula, untuk keseluruhan tanaman jagung ini, saya dapat raih puluhan ribu ringgit dengan kadar purata harga bagi setongkol jagung manis kira-kira 70 sen manakala jagung King Purple RM1.40 tetapi nilai ini adalah sebelum jagung-jagung ini digredkan,” katanya.

Jentera traktor digunakan semasa proses menuai jagung sebelum diletakkan di tempat pengumpulan dan diasingkan mengikut saiz yang ditetapkan. - Foto Bernama
Jentera traktor digunakan semasa proses menuai jagung sebelum diletakkan di tempat pengumpulan dan diasingkan mengikut saiz yang ditetapkan. - Foto Bernama

Azmi berkata, hasil tanamannya yang boleh dituai tiga kali setahun itu dibekalkan kepada kilang memproses jagung di Melaka untuk dijadikan jagung lerai dan ‘retort sweet corn’ sebelum dibekalkan ke seluruh negara.

“Kita juga ada ambil semula jagung yang telah diproses ini untuk dijual selain turut menjualkannya kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Negeri Sembilan,” katanya.

Dia berkata, mungkin menanam jagung dilihat sebagai agak mudah tetapi hakikatnya, proses yang perlu dilalui agak rumit terutama King Purple yang memerlukan penjadualan baja bersistematik serta kawalan atau pengawasan yang amat ketat bagi mencegah ia diserang ulat yang berpotensi merosakkan keseluruhan tanaman.

“Tanaman jagung ini risikonya adalah bila diserang ulat, sebab itu sistem penjadualan pembajaan penting, selain itu kaedah yang saya gunakan untuk menangani masalah ulat di peringkat awal ialah dengan membuat kawalan menggunakan baja yang dicampur dengan belacan.

“Selain berdepan cabaran serangan ulat, kawasan tanaman saya juga pernah dilanda banjir iaitu sehari sebelum hari menuai yang melibatkan kawasan seluas 17 ekar dengan nilai kerugian RM60,000... dua kali kawasan tanaman saya dilanda banjir,” katanya.

Mengulas rancangan untuk memperluaskan kawasan tanaman jagungnya itu, Azmi berkata, tapak sawah terbiar milik penduduk kampung seluas 80 ekar akan diusahakannya dan ia dijangka bermula pada April.

“Saya sedang usaha untuk buka satu lagi kawasan tanaman jagung di kawasan tanah terbiar ini di mana kita akan sewa daripada penduduk kampung selama 10 tahun.

“Jangkaan dalam bulan April ini akan bermula sebab ketika ini, kerja-kerja pembersihan kawasan sedang dijalankan. Kemudian hasil tanaman ini nanti kita hantar ke kilang dahulu untuk diproses sebelum dikomersilkan di dalam dan luar negara,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus