X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan bantu rakyat Malaysia di pusat kuarantin daif di India

Beberapa rakyat Malaysia dikuarantin oleh pihak berkuasa India lanjutan penglibatan mereka dalam perhimpunan tabligh yang berlangsung di Markaz Nizamuddin pada 10 hingga 13 Mac lalu.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan memberi jaminan sekumpulan rakyat Malaysia yang sedang dikuarantin dalam keadaan daif di India akan mendapat perhatian dan bantuan yang sewajarnya.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pihaknya maklum berhubung rakaman video yang tular sejak kedaifan pusat kuarantin di India yang menempatkan sekumpulan rakyat Malaysia itu.

Menurutnya, Kementerian Luar Negeri menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telah berhubung dengan kerajaan India khususnya Kementerian Luar Negeri (MEA) India dan mereka berjanji akan memberi perhatian dan kerjasama sepenuhnya.

"Saya juga telah mengarahkan wakil Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi untuk melawat dan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang ditempatkan di pusat-pusat kuarantin tersebut.

"Pada kesempatan ini, kami mohon kerjasama rakyat Malaysia untuk bersabar dan memahami bahawa proses membawa rakyat kita pulang memerlukan rundingan dan kadang-kadang memakan masa.

"Kementerian Luar Negeri sentiasa komited dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara akan terus diberikan keutamaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau yang juga Pengerusi Pasukan Tugas Khas Covid-19 Kementerian Luar Negeri, rakyat Malaysia tersebut telah dikuarantin oleh pihak berkuasa India lanjutan penglibatan mereka dalam perhimpunan tabligh yang berlangsung di Markaz Nizamuddin pada 10 hingga 13 Mac lalu.

"Ini adalah salah satu langkah yang diambil oleh Kerajaan India untuk mengekang penularan wabak Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini, terdapat seramai 2,298 orang rakyat Malaysia yang dilaporkan masih terkandas di 47 buah negara.

Katanya, daripada jumlah itu India merekodkan jumlah tertinggi rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara iaitu seramai 1,016 orang.

"Negara-negara lain yang mencatatkan sejumlah besar rakyat Malaysia yang terkandas adalah di Thailand (172 orang), New Zealand (136 orang), Pakistan (128 orang), Vietnam (122 orang), Arab Saudi (83 orang), Australia (77 orang), Filipina (66 orang), Sri Lanka (65 orang) dan Nepal (43 orang).

"Setakat 4 April 2020, seramai 4,811 orang rakyat Malaysia telah selamat pulang ke tanah air sama ada melalui proses repatriasi yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia, sumbangan parti politik, pihak swasta, mahupun dibiayai secara persendirian," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus