Sastera mampu padam api permusuhan

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

MANUSIA ialah homo symbolicum, haiwan representasi atau makhluk yang mencipta dan memanipulasi sistem tanda atau simbol.

Misalnya, bendera dicipta bagi melambangkan kedaulatan negara, mahkota melambangkan kuasa kerajaan, lampu isyarat jalan raya melambangkan arahan kepada pemandu kenderaan.

Demikian juga dalam kesusasteraan atau persuratan, wujud pelbagai simbol, baik berupa simbol universal mahupun simbol peribadi, yang memaknakan maksud lain daripada objek, naratif dan bentuk yang membina strukturnya.

Dari sudut budaya, kesusasteraan menjadi wadah untuk melestarikan budaya atau menggerakkan budaya, juga dalam bentuk tersirat. Setiap unsur yang direpresentasikan membawa beban makna yang hanya dapat ditafsirkan melalui pemerhatian kontekstual.

Antara dua istilah ini (sastera dan budaya) wujud pertindihan zat iaitu kesusasteraan ialah satu daripada unsur kebudayaan dan kebudayaan melahirkan kesusasteraan.

Manusia yang hidup dalam satu lingkungan kebudayaan akan terdorong untuk menghasilkan cipta seni yang berakar daripada kebudayaannya, sama ada untuk tujuan melestarikan kebudayaan dalam ruang naratif (lisan atau tulisan), atau untuk menggerakkan kebudayaan masyarakatnya ke medan yang lebih luas daripada amalan dan kepercayaan yang sedia ada.

Tenaga hegemoni yang dimiliki oleh kesusasteraan sangat ampuh dalam membentuk masyarakatnya, sama ada menjinakkan pemikiran dan perlakuan yang liar ataupun mengabsahkan konsepsi yang wujud dalam minda setiap anggota masyarakat.

Bahasa dalam karya sastera tidak bersifat neutral, sebaliknya mempunyai upaya dan ideologi tertentu.

Dengan kedudukannya yang sebegitu, karya sastera yang juga merupakan wacana, tidak hanya menyatakan kisah manusia secara neutral.

Karya sastera membawa ideologi, memiliki kuasa yang menentukan apa-apa yang boleh dimasukkan untuk tatapan khalayaknya.

Artikel Berkaitan:

Dengan demikian, setiap perkara dalam karya itu disisipi unsur kuasa untuk menundukkan masyarakat agar mereka mematuhinya secara rela.

Di sinilah berperanannya ideologi dalam konteks kuasa memerintah secara hegemoni atau rule by consent.

Melalui kesusasteraan, khalayaknya (sudah tentu masyarakat yang melingkungi pengarang, baik masyarakat setempat mahupun masyarakat global, bergantung pada bentuk dan isi karyanya) akan didorong untuk bertindak menurut paradigma yang disisipkan.

Penjinakan

Dalam sesebuah masyarakat atau negara, penjinakan masyarakat atau rakyat tidak mudah dilakukan dengan tenaga ketenteraan atau undang-undang kerana setiap tindakan kekerasan akan mengakibatkan tindakan balas daripada pihak yang ditindas oleh kekerasan itu.

Dalam sejarah telah banyak berlaku konflik antara rakyat dengan pemerintah apabila tindakan kekerasan digunakan untuk menjinakkan rakyat.

Tetapi dengan menggunakan ideologi sebagai alat untuk menyeragamkan pemikiran rakyat agar mereka menjadi jinak di bawah pemerintahan kerajaan, usaha itu lebih mudah dilakukan dan mencapai matlamatnya walaupun ada kekecualiannya.

Apakah cabaran semasa dan akan datang dalam usaha kita memanfaatkan sastera sebagai teras pengucapan budaya?

Ini persoalan yang harus diberi perhatian serius oleh pengarang. Adakah kita mahu kekal dengan etnosentrik, mengekalkan keegoan etnik masing-masing sedangkan hakikatnya ego itu sentiasa tercabar dalam masyarakat yang berada dalam ketidakseimbangan;

atau kita terpaksa akur bahawa masyarakat kita terbentur oleh keragaman budaya disebabkan hadirnya pelbagai ras dan etnik yang semakin berpengaruh mencorakkan kehidupan.

Di Malaysia sahaja sudah terlihat jalur beragam ras ini apabila wajah Melayu, Cina, India, Sikh dan bumiputera lain (Murut, Bidayuh, Kadazan- Dusun, Melanau dan lain-lain) bercampur dan tidak mustahil berasimilasi atau berkontradiksi.

Mahukah kita melihat potensi itu dengan positif dan memanfaatkannya atau kita membiarkannya berlalu begitu sahaja dengan penuh ketakutan kerana enggan meleburkan ego budaya kita?

Kita memiliki nilai sepunya yang unik iaitu kebersamaan dalam hidup, kasih sayang, nilai kepercayaan kepada Tuhan, nilai kekeluargaan dan ekonomi yang manusiawi. Nilai sepunya ini dapat disuburkan dalam karya sastera.

Kini karyawan berada dalam situasi penting untuk menghasilkan paradigma budaya kebersamaan itu.

Langkah ini perlu digerakkan dengan segera supaya sastera kita bukan lagi memencilkan kelompok yang berlainan di tempat yang tersendiri.

Berada dalam kelompok sendiri dan berusaha menggali budaya tradisi sebagai kaedah menonjolkan kegemilangan masing-masing hanya mempunyai kesan baik sementara kerana mahu tidak mahu terpaksalah kita akui bahawa kehidupan kita tidak akan dapat terlepas daripada pergaulan dan percampuran.

Untuk itu, sastera masa depan kita hendaklah membudayakan cara hidup yang praktikal, bukannya bersifat etnosentrik.

Perwatakan dan persoalan dalam karya seharusnya dibancuh dengan kesedaran bahawa hidup kita tidak terpisah daripada kaum-kaum lain.

Sama ada kita senang mahupun derita, sama ada kita maju mahupun mundur, semuanya ada hubungannya dengan kaum lain.

Oleh itu, carilah kaedah untuk menghadirkan mereka secara alamiah dalam karya agar kehadiran mereka itu dapat diterima tanpa prejudis.

Agenda memperkecil atau mendominasi kaum lain hanya akan melahirkan kontradiksi.

Ringkasnya, budaya yang perlu disuburkan melalui karya sastera tempatan perlu merujuk kepada keberagaman etnik dan mengakui hak masing-masing mengikut jalurnya.

Sastera boleh menjadi wadah untuk meleburkan ketegangan tersebut dengan cara mencipta ideologi kebersamaan, membangkitkan sejarah sedarah sebudaya atau melihat punca permasalahan yang datang daripada benih yang sama.

Biarlah karya sedemikian dianggap sebagai utopia, terlalu idealistik, propaganda dan sebagainya. Jika teks budaya dapat berfungsi menyebarkan ideologi permusuhan, maka teks budaya juga dapat menjadi pemadam api permusuhan itu.

* Dr Mohamad Saleeh Rahamad ialah Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia. Beliau mengajar di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya