X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan Terengganu bayar caruman 557 pemandu pengangkutan awam

Gambar hiasan
A
A

KUALA TERENGGANU- [DIKEMASKINI] Seramai 557 pemandu teksi, kereta sewa dan bas di Terengganu tersenarai untuk menerima bantuan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata bantuan RM232.80 seorang selama setahun itu sumbangan kerajaan negeri Terengganu melibatkan jumlah keseluruhan caruman mencecah RM129,670.

"Peruntukan ini membuktikan penghargaan dan komitmen kerajaan Terengganu terhadap kebajikan pemandu teksi, kereta sewa dan bas di seluruh negeri melalui perlindungan keselamatan sosial sekiranya berlaku musibah ketika menjalankan tugas mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkeso telah menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 mulai 1 Jun 2017 yang memberi perlindungan kepada mereka yang bekerja sendiri di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Sebagai permulaan, skim tersebut diwajibkan ke atas sektor pengangkutan penumpang iaitu pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas manakala mulai 1 Januari 2020, ia diperluas kepada 19 lagi sektor pekerjaan sendiri, menjadikan kesemuanya 20 sektor termasuk sektor pengangkutan barangan dan makanan.

Bagaimanapun, katanya, sehingga semalam, hanya 49,183 pencarum aktif direkodkan berdaftar dan mencarum di bawah SKSPS berbanding anggaran 2.8 juta orang yang bekerja sendiri di seluruh negara.

Justeru, Mohammed Azman menggesa individu bekerja sendiri agar segera mendaftar bagi memastikan mereka mendapat perlindungan di bawah SKSPS. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus