Ujian bacaan al-Quran calon Presiden Indonesia ditunda

Prabowo (kanan) dan Jokowi dua calon pilihan raya presiden (Pilpres) 2019.
A
A

JAKARTA - INDONESIA. Ikatan Dai Aceh (IDA) membatalkan ujian membaca al-Quran membabitkan calon Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dan Prabowo Subianto yang sepatutnya diadakan hari ini di Masjid Besar Baiturrahman di Banda Aceh.

Menurut pertubuhan ulama Islam itu, bagaimanapun ujian berkenaan masih boleh diteruskan sekiranya pasangan calon Jokowi-Ma'ruf Amin dan Prabowo-Sandiaga Uno mempunyai masa terluang.

"Dari awal kami sudah maklumkan bahawa jadual ujian ini boleh berubah kerana kami tahu betapa sibuknya mereka.

"Kalau mereka ada masa, kita tunggu sahaja. Kalau setuju, kita aturkan masa yang difikirkan sesuai," kata Ketua IDA, Marsyuddin Ishak hari ini.

IDA sebelum ini berkata pihaknya sudah pun menghantar jemputan kepada kedua-dua pihak.

Namun sehingga kini, beliau belum menerima surat atau jawapan rasmi daripada kem Jokowi mahupun Prabowo.

Ujian membaca al-Quran berkenaan bagi menentukan tokoh yang bakal memimpin negara paling ramai penduduk Islam itu.

Aceh, satu-satunya wilayah Indonesia yang melaksanakan undang-undang syariah termasuk dalam 10 wilayah yang Jokowi gagal meraih majoriti pada pilihan raya presiden 2014. Indonesia mempunyai 34 wilayah. - Agensi


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia